Foto: Instagram
Pelakon Mimi Lana lantang menegur Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, selepas kenyataannya yang didakwa seolah-olah mempertahankan pelaku dalam kes rogol membabitkan pelajar sekolah baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Instagram Story, Mimi mempersoalkan keutamaan kementerian apabila dilihat lebih memberi perhatian terhadap pelaku atas alasan pelajar tersebut perlu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berbanding membela nasib mangsa yang menjadi korban keadaan.
“Kenapa Menteri Pendidikan begitu sibuk mempertahankan pelaku dengan alasan dia perlu ambil SPM? Bukankah keutamaan sepatutnya diberikan kepada mangsa yang menjadi mangsa jenayah dalam kawasan sekolah?” tulisnya.
Beliau turut mempersoalkan mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat apabila seorang menteri seolah-olah lebih bersimpati terhadap pelaku berbanding mangsa.
“Sejak bila pelaku jenayah layak diberi keistimewaan atas nama akademik? Bila suara rasmi seorang menteri sendiri kelihatan lebih simpati pada pelaku, apa mesej yang nak disampaikan kepada masyarakat? Jenayah boleh dimaafkan demi peperiksaan?” katanya lagi.
Mimi menambah, kenyataan seperti itu hanya mencerminkan kelemahan hala tuju kepimpinan pendidikan negara dan boleh merosakkan sistem sekiranya dibiarkan atas nama “toleransi yang salah”.
“Kalau beginilah hala tuju kepimpinan pendidikan negara, jangan terkejut kalau sistem ini perlahan-lahan hancur atas nama toleransi yang salah. Dan ini bukan kali pertama kenyataan tidak sensitif keluar dari mulut menteri pendidikan kita,” tegasnya.
Kritikan tersebut tercetus selepas laporan mengenai seorang pelajar Tingkatan 3 yang menjadi mangsa rogol dan dirakam oleh pelajar Tingkatan 5 di sebuah sekolah.
Kes berkenaan mencetuskan kemarahan ramai selepas Menteri Pendidikan dilaporkan meminta masyarakat “memberi ruang kepada pelaku untuk menduduki SPM” sambil menegaskan tindakan susulan masih di bawah siasatan pihak berkuasa.
Namun, kenyataan itu mengundang kecaman ramai yang berpendapat fokus utama seharusnya diberikan kepada mangsa termasuk perlindungan emosi, keadilan, dan pemulihan bukan kepada pelaku yang telah menyebabkan trauma kepada orang lain.
Isu ini turut membuka perdebatan lebih besar mengenai sikap dan keutamaan sistem pendidikan negara dalam menangani kes jenayah seksual di sekolah, di mana ramai menuntut agar dasar dan tindak balas kerajaan lebih berpihak kepada mangsa dan bukannya pelaku.
Sumber: Instagram Story
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.