
Foto: Instagram
Pelakon muda berbakat, Mierul Aiman menolak dakwaan bahawa filem dan drama tempatan menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kes buli dalam kalangan pelajar sekolah.
Sebaliknya, Mierul atau nama penuhnya Muhammad Amirul Aiman Norazman, 27, menjelaskan bahawa karya seni seperti filem dan drama hanyalah satu cerminan kepada realiti kehidupan masyarakat yang berlaku di sekeliling kita, bukan penyebab kepada kemunculan gejala sosial tersebut.
Menurut pelakon yang dikenali menerusi filem Kahar: Kapla High Council itu, kandungan filem tempatan yang memaparkan unsur negatif seperti rempit atau buli sebenarnya lahir daripada budaya masyarakat itu sendiri yang sudah wujud terlebih dahulu.
“Saya membesar dengan menonton pelbagai jenis filem, drama dan mendengar muzik. Saya percaya filem yang bertemakan rempit terhasil kerana ia mencerminkan realiti yang sudah pun berlaku dalam masyarakat.
“Bukan kerana filem itu ditayangkan, maka barulah muncul isu rempit,” katanya ketika ditemui pada sidang media, semalam.
Jelasnya lagi, naskhah yang dipaparkan di layar perak ataupun kaca televisyen hanyalah satu bentuk naratif yang diinspirasikan daripada kehidupan sebenar.
“Bagi saya, filem dan drama sebenarnya berperanan sebagai medium untuk penonton berfikir dan merenung sesuatu isu yang diketengahkan dalam jalan cerita. Ia bukan semata-mata hiburan, tetapi juga ruang untuk mencetuskan kesedaran,” ujarnya.
Juara Hero Remaja 2021 itu turut menegaskan bahawa masyarakat seharusnya melihat karya yang memaparkan isu-isu berat seperti buli bukan sebagai galakan atau dorongan, tetapi sebagai satu bentuk peringatan dan pengajaran yang boleh dijadikan iktibar bersama.
“Saya percaya penonton sudah cukup matang untuk membezakan antara yang baik dan buruk. Kita semua telah dididik sejak kecil oleh ibu bapa dan guru di sekolah tentang nilai moral.
“Jadi apabila menonton sesebuah filem atau drama, masyarakat seharusnya menjadikan ia sebagai rujukan untuk memperkukuh prinsip dan nilai dalam diri, bukan untuk ditiru secara membuta tuli,” katanya lagi.
Tambahnya, setiap karya seni yang dihasilkan adalah satu pameran atau perkongsian pengalaman pihak lain yang mungkin tidak semua orang dapat lalui sendiri.
Dalam perkembangan kerjaya terbaharunya, Mierul kini tampil sebagai watak utama dalam drama romantik Seadanya Kita, bergandingan bersama pelakon popular, Emma Maembong selaku heroin.
Sumber: HibGlam
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.