Juara Hero Remaja 2021, Mierul Aiman mengakui idamkan watak yang berkisah realiti dengan dunia masyarakat zaman sekarang.
Muhammad Amirul Aiman Norazman atau mesra disapa Mierul juga mahu berlakon bersama barisan pelakon-pelakon lagenda tanah air.
“Saya mahu berlakon watak macam itu sebab ia dekat dengan saya dan bila adanya pelakon yang berpengalaman ini, dia boleh sebar ilmu dan manfaat untuk kerjaya saya,” katanya ketika ditemubual penyampai radio Munaabella di #HitERA.
Malah, pelbagai cabaran yang telah dilalui bersama rakan seperjuangan selama 16 episod juga banyak mengajar dirinya untuk menjadi seorang yang lebih matang.
Tidak dinafikan, program Hero Remaja menjadi platform untuknya terus berdiri dan impiannya untuk berkembang dalam industri hiburan tanah air.
“Mierul akan rindukan pertandingan ini sebab kan cabaran yang dah lalui tapi di luar sana ada lagi banyak yang perlu tempuhi,” ujarnya.
Ketika ditanya selebriti mana yang menjadi idolanya dan paling diminati, Mierul tanpa segan silu terus menjawab selebriti versatil Sherry Al-Hadad.
“Sherry Al-Hadad memang artis yang saya minat dan juga hormati sebab dia seorang yang komited, disiplin dan juga versatile semua dia boleh buat, berlakon, mengacara, InsyaAllah mana tahu saya pun boleh lakukan yang sama seperti dia,” katanya ketika ditanya Munaabella.
Jejaka berusia 23 tahun itu berterima kasih dan bersyukur atas segala sokongan yang diberikan keluarga dan para peminatnya sepanjang program berlangsung.
“Saya bersyukur sangat dapat peluang ini, dan terima kasih kepada semua yang sokong saya untuk Hero Remaja kali ini,” katanya.
Mierul berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 beserta selempang dan trofi.
Tempat kedua dinobatkan kepada Aqil Taqee manakala Fazziq Muqris pula menduduki tempat ketiga.
Oleh: Muhammad Izwan Zainal
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.