
Satu lagi detik bersejarah buat anak Malaysia! Pelakon tersohor dunia, Tan Sri Michelle Yeoh bakal menerima bintang ke-2,836 di Hollywood Walk of Fame pada 18 Februari ini, bertempat di hadapan lokasi ikonik, Grauman’s Chinese Theatre.
Pengiktirafan berprestij ini meletakkan nama Michelle Yeoh sebaris dengan legenda dunia hiburan lain dan lebih manis, beliau diraikan dalam kategori Motion Pictures!
Menurut penerbit Walk of Fame, Ana Martinez, penghormatan ini cukup bermakna.
“Michelle’s extraordinary talent, grace and groundbreaking career have left an indelible mark on the entertainment industry. Her star honours a trailblazer whose work continues to inspire audiences worldwide.”
Bukan calang-calang pujian tu!
Michelle Yeoh mula mencipta nama menerusi filem aksi Hong Kong pada era 1990-an sebelum melebarkan sayap ke Hollywood. Siapa boleh lupa aksi lincahnya dalam Crouching Tiger, Hidden Dragon arahan Ang Lee? Filem itu bukan sahaja mencipta fenomena global, malah melonjakkan namanya ke peringkat antarabangsa.
Kemudian hadir pula Crazy Rich Asians yang mencetuskan fenomena rom-com terbesar di Amerika Syarikat dalam tempoh lebih sedekad!

Namun kemuncak kerjayanya tiba pada tahun 2023 apabila beliau mencipta sejarah sebagai pelakon Asia pertama memenangi Oscar Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Everything Everywhere All At Once.
Bukan itu sahaja beliau juga menjadi rakyat Malaysia pertama yang dicalonkan dan memenangi Anugerah Akademi!
Filem tersebut turut menghadiahkannya Golden Globe dan kemenangan Screen Actors Guild, selain menjadi filem terlaris A24 ketika itu.
Majlis penganugerahan bintang ini akan dikendalikan oleh pengarah terkenal Jon M. Chu, yang pernah bekerjasama dengannya dalam Crazy Rich Asians dan francais Wicked.
Turut hadir memberi ucapan ialah pengarah legenda Ang Lee serta wartawan hiburan pemenang Emmy, Jenelle Riley bukti betapa besarnya pengaruh Michelle Yeoh dalam industri.

Terbaharu, Michelle Yeoh mencuri perhatian menerusi watak Madame Morrible dalam adaptasi blockbuster Wicked dan sekuelnya, Wicked: For Good. Tak cukup dengan itu, beliau bakal kembali ke filem berbahasa Cina selepas lebih sedekad menerusi Miss Rubik’s Cube yang dijadualkan tayangan pada 2026.
Lebih menarik, filem pendek drama Sandiwara arahan Sean Baker yang dirakam hanya menggunakan iPhone ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-76 pada 13 Februari 2026.
Dari Ipoh ke Hollywood, perjalanan Michelle Yeoh bukan sekadar kisah kejayaan ia adalah simbol bahawa bakat Asia mampu memecah tembok stereotaip dan menawan dunia.
Dan kini, namanya bakal terpahat selamanya di Hollywood Walk of Fame.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.