
Foto: Earth.Org
Apa yang bermula sebagai hari biasa buat seorang pengembala, berubah menjadi penemuan menggemparkan yang seolah-olah terhenti dalam masa. Di Lembah Lady, puncak pergunungan Kohistan, mayat seorang lelaki yang hilang sejak 1997 akhirnya ditemukan dalam keadaan hampir sempurna, lengkap berpakaian, seolah-olah baru sahaja terbaring untuk berehat.
Mayat yang ‘terawet’ secara semula jadi itu dikenal pasti sebagai Naseeruddin, seorang lelaki daripada suku Saleh Khel yang pernah dilaporkan hilang ketika ribut salji melanda kawasan tersebut 28 tahun lalu.
Kad pengenalan yang masih bersama tubuhnya menjadi kunci kepada identiti yang sekian lama menjadi misteri. Tiada tanda reput besar, tiada kerosakan ketara sebaliknya hanya tubuh beku dalam diam, bersemadi dalam glasier selama hampir tiga dekad.

Foto: X (@groundcheck360)
Menurut laporan, Naseeruddin bersama abangnya, Kathiruddin, sedang menunggang kuda merentas pergunungan untuk melarikan diri daripada konflik keluarga yang mengancam keselamatan mereka.
Pada pagi kejadian, mereka tiba di Lembah Lady. Naseeruddin masuk ke dalam sebuah gua untuk berlindung daripada cuaca buruk. Namun, dia tidak pernah keluar semula. Usaha pencarian yang dilakukan gagal menemui sebarang kesan dan akhirnya keluarga mereka berpindah jauh, membawa luka yang tidak pernah sembuh.
Tragedi bertambah parah apabila adik bongsu mereka, Gardezi, terbunuh dalam insiden berkaitan maruah keluarga. Satu demi satu hilang, tertimbus di bawah salji dan sejarah.
Penemuan ini bukan sekadar tragedi peribadi sebaliknya ia juga menjadi cerminan kepada realiti yang lebih besar iaitu perubahan iklim.
Menurut Prof Muhammad Bilal dari Universiti COMSATS, suhu beku yang ekstrem, kekurangan oksigen dan kelembapan rendah menyebabkan tubuh manusia dalam glasier boleh mengalami proses mumifikasi semula jadi. Hal ini mengakibatkan badan tidak reput, malah beku dengan hampir tiada perubahan fizikal.
Dr Adnan Ahmad Tahir, pakar alam sekitar, menyatakan bahawa pencairan glasier di utara Pakistan kini sedang mendedahkan pelbagai tinggalan tersembunyi, daripada artifak hingga jasad manusia.
Apa yang dahulu tertimbus oleh ais, kini kembali kepada cahaya dunia.
Menurut Pegawai Daerah Tambahan Kohistan, Aminul Hassan, lokasi penemuan hanya boleh diakses dengan tiga jam perjalanan darat, diikuti 15 hingga 18 jam berjalan kaki merentasi kawasan pergunungan berbahaya. Usaha membawa pulang mayat itu menjadi satu cabaran logistik dan fizikal, namun keluarga dan pihak berkuasa komited untuk memberikan penutup yang layak kepada kisah yang selama ini tergantung.
Sumber: Astro Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.