Foto: Bernama
Skuad Harimau Malaya terus mempamerkan aksi meyakinkan apabila menewaskan Laos 5-1 dalam perlawanan keempat Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Malaysia yang menguasai sebahagian besar permainan pada separuh masa pertama berdepan kesukaran menembusi benteng pertahanan lawan yang diketuai penjaga gol cemerlang, Kop Lokphathip. Percubaan awal Romel Morales pada minit kelima ditepis keluar, manakala rembatan deras kapten, Dion Cools dari luar kotak penalti turut dinafikan.
Laos mengejutkan tuan rumah pada minit ke-20 apabila rembatan Chanthavixay Khounthoumphone dari luar kotak penalti terkena kepala Shahrul Saad dan menewaskan penjaga gol negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed. Gol itu menjadi satu-satunya jaringan yang dibolosi Malaysia dalam kempen kali ini.
Walaupun beberapa peluang selepas itu gagal disempurnakan, skuad kendalian Peter Cklamovski tampil garang sebaik babak kedua bermula. Kebangkitan bermula dengan sepakan percuma cantik Mohamad Faisal Abdul Halim pada minit ke-59 yang menyamakan kedudukan.
Tujuh minit kemudian, Morales menjaringkan gol kedua hasil gerakan satu-dua bersama Arif Aiman Mohd Hanapi, sebelum menambah satu lagi gol menerusi hantaran Cools pada minit ke-71.
Nasib malang menimpa Laos apabila pertahanan mereka, Khammanh Thapaseut tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-79 untuk gol keempat Malaysia. Lima minit selepas itu, penyerang gantian Paulo Josue melengkapkan pesta jaringan dengan gol kelima Harimau Malaya.
Kemenangan bergaya ini memastikan Malaysia kekal di tangga teratas Kumpulan F dengan 12 mata maksimum selepas empat perlawanan, diikuti Vietnam di tempat kedua dengan sembilan mata. Laos berada di tangga ketiga dengan tiga mata manakala Nepal masih tanpa sebarang mata.
Malaysia seterusnya akan menentang Nepal pada 18 November sebelum menutup kempen kumpulan menentang Vietnam di Hanoi pada Mac tahun depan, dengan misi mengekalkan rekod sempurna dan melangkah ke pusingan seterusnya.
Sumber: Stadium Astro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.