Foto: Forbes
Anugerah Emmy ke-77 di Peacock Theater, Los Angeles, menjadi pentas solidariti apabila beberapa bintang Hollywood lantang menyuarakan sokongan terhadap Palestin dan mendesak gencatan senjata di Gaza.
Antara yang menonjol, penerima trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Kategori Komedi, Hannah Einbinder, 30, yang juga bintang siri Hacks.
Dalam ucapan penghargaan, beliau turut memakai pin merah Artists4Ceasefire (simbol gesaan agar Amerika Syarikat segera menghentikan serangan dan mendesak gencatan senjata).
Di belakang pentas, Einbinder mendedahkan dirinya mempunyai ramai rakan sukarelawan kesihatan yang berkhidmat di Gaza.
Sementara itu, pelakon Sepanyol Javier Bardem tampil di karpet merah dengan mengenakan keffiyeh Palestin, sekali gus menyatakan pendiriannya menolak sebarang kerjasama dengan pihak yang menyokong kekejaman rejim Zionis.
“Tidak mengapa jika saya hilang pekerjaan. Itu tidak penting. Apa yang berlaku di Gaza lebih wajar diberi perhatian,” katanya kepada media.
Gelombang solidariti turut disertai artis lain seperti Aimee Lou Wood, Natasha Rothwell, Ruth Negga dan Chris Perfetti, yang sama-sama mengenakan pin merah tersebut.
Sejak dua tahun lalu, pin Artists4Ceasefire menjadi simbol protes mendesak gencatan senjata kekal serta penghantaran segera bantuan kemanusiaan ke Gaza, malah telah dipakai di pelbagai acara anugerah berprestij termasuk Oscar.
Beberapa bulan lepas, seramai 3,900 pekerja industri perfileman Hollywood turut menandatangani petisyen menolak kerjasama dengan mana-mana pihak yang menyokong penindasan terhadap Palestin.
Sumber: X
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.