Sejak melancarkan single debut mereka ‘Make You Wanna’ pada Mac lalu, kumpulan wanita baharu DOLLA berjaya menggegarkan industri muzik Malaysia dengan konsep lagu, penampilan, nyanyian dan tarian setaraf dengan kumpulan wanita antarabangsa. Walaupun nama DOLLA masih baru dalam industri Malaysia, namun kumpulan wanita yang dianggotai empat gadis cantik ini sudah pun berjaya mengumpul peminatnya sendiri yang menggelarkan diri mereka ‘iDOLLA’.
Bagi meluaskan lagi jangkauan muzik mereka, DOLLA kini muncul dengan single kedua mereka berjudul IMPIKAN. Turut dilancarkan bersama lagu IMPIKAN ini adalah lagu versi Bahasa Inggeris yang diberi judul WATCH ME GLOW. Lagu ini adalah ciptaan komposer dan penerbit terkenal dari Sweden iaitu Ludwig Lindell, Daniel Caesar, Karl Oscar Gummesson yang turut menulis lirik untuk WATCH ME GLOW. Manakala lirik IMPIKAN pula ditulis oleh penyanyi rap, komposer dan penerbit terkenal Malaysia iaitu Luca Sickta dan YonnyBoii.
Mengulas tentang lagu ini yang menggunakan khidmat pencipta lagu antarabangsa yang pernah menghasilkan beberapa lagu hits untuk kumpulan K-Pop seperti LOONA, Red Velvet, Girls’ Generation, EXO-CBX, VIXX, Boys Republic dan Pentagon, Sabronzo bagi pihak DOLLA berkata, “Sudah pastinya kami sangat teruja diberikan lagu daripada komposer dan penerbit antarabangsa yang sebelum ini pernah menghasilkan lagu-lagu hits K-Pop seperti ‘All Night’ nyanyian Girl’s Generation. Dengan peluang ini ianya sedikit sebanyak memberikan kami kelebihan kepada kami untuk membawa konsep muzik yang lebih bercitarasa antarabangsa.”
Manakala ketua Pemasaran Domestik Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar pula menjelaskan bagaimana lagu ini dipilih menjadi taruhan terbaharu Dolla;
“Sebenarnya kerjasama kami dengan syarikat produksi The Kennel AB dari Sweden ini sudah lama terjalin menerusi beberapa projek untuk artis di bawah Universal Music Group. Bila kami menerima lagu WATCH ME GLOW dalam senarai lagu yang mereka hantar untuk projek lain, kami merasakan ianya sesuai dengan konsep muzik yang Dolla cuba tampilkan. Setelah berbincang dengan pihak Dolla sendiri, kami bersepakat untuk menjadikan single kedua Dolla dan dikeluarkan dalam dua versi iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa English.”
“Ini menandakan kejayaan yang luar biasa dalam sejarah muzik Malaysia! Salah satu kumpulan wanita paling menarik di Asia Tenggara - DOLLA, baru sahaja mengeluarkan lagu baru dalam dua bahasa pada masa yang sama. Ini adalah salah satu bahagian dari rancangan strategik untuk membawa DOLLA menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa secara serentak. Walaupun Dolla masih hijau dalam industri muzik, namun kami percaya akan potensi dan bakat mereka untuk melangkah lebih jauh. Kami berharap lagu ini bukan sahaja disambut baik oleh peminat muzik tempatan dan antarabangsa, malah lagu ini mampu menjadi pengubah keadaan dalam meletakkan nama Dolla dan Malaysia di peta muzik global,” jelas Anne Mukhtar.
Lagu yang cuba mengangkat falsafah pantang menyerah kalah, IMPIKAN / WATCH ME GLOW membawa pesanan untuk sentiasa tabah dalam menghadapi liku-liku kehidupan. Mengulas tentang mesej lagu ini, Angelina Chai atau lebih mesra disapa sebagai Angel berkata, “Lagu ini cuba membangkitkan semangat mereka yang belum mencapai apa yang mereka impikan dalam hidup mereka. Jangan mengeluh dan mudah menyerah kalah. Dengan usaha yang berterusan, apa yang diimpikan pasti boleh dikecapi suatu hari nanti. Lagu ini kami dedikasi khas buat peminat kami yang percaya dengan bakat dan kemampuan kami untuk terbang lebih jauh dalam persada seni.”
Bercakap tentang jangkaan dan harapan mereka untuk lagu ini, Sabronzo juga berkata, “Kami berharap lagu ini bukan sahaja mendapat sambutan positif daripada pendengar dan mengukuhkan lagi jenama dan muzik di Malaysia, malah kami turut menaruh impian lagu ini membuka ruang dan peluang untuk kami menempa nama di luar negara.”
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.