Festival Muzik Astroworld yang berlangsung di Texas, Amerika Syarikat telah bertukar tragedi apabila lapan orang terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera disebabkan insiden rempuhan yang berlaku.
Polis juga melaporkan sekurang-kurangnya seorang pengawal keselamatan diberikan dadah ketika festival muzik tersebut.
Menurut Ketua Polis Houston, Troy Finner memaklumkan konsert itu lebih huru-hara daripada yang dijangkakan.
Malah, seorang pengawal keselamatan dicucuk sesuatu dipercayai jarum ketika dia menahan seorang individu lain di konsert Travis Scott itu.
Pengawal yang terlibat dilaporkan pengsan dan kakitangan perubatan menggunakan Narcan untuk merawat dos berlebihan dan membalikkan kesan keracunan Fentanyl.
“Dia sedar semula setelah diberikan ubat Narcan, malah kakitangan perubatan yang berada di lokasi kejadian mengesan tusukan menyerupai kesan jarum suntikan.
“Mungkin juga ada orang lain yang turut disuntik,” katanya.
Setakat ini, kira-kira 25 orang telah ditahan akibat kesalahan menceroboh dan seorang penonton turut diberkas kerana menggunakan ganja dan mabuk di tempat awam.
Pihak polis juga memaklumkan lebih daripada 1,000 petugas yang menjaga keselamatan di festival termasuk anggota polis dan pengawal keselamatan swasta.
Mangsa yang terlibat didakwa berusia antara 14 tahun hingga 27 tahun maut dalam tragedi rempuhan itu.
Dilaporkan, dua daripada lapan mangsa yang meninggal dunia adalah remaja bawah umur, manakala kira-kira 300 orang dilaporkan cedera telah menerima rawatan.
Sumber: RT News
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.