Penyakit darah pekat adalah satu penyakit yang menyebabkan sum-sum tulang anda menghasilkan terlalu banyak sel darah merah. Ia dikenali sebagai polycythemia vera.

Terlalu banyak sel darah merah menyebabkan darah dalam badan anda menjadi terlalu pekat, sehingga ia akan memperlahankan alirannya dalam badan.
Pesakit yang menghidap polycythemia vera secara tidak langsung juga mudah mendapat darah beku, dan ia juga antara kanser darah yang amat jarang berlaku.

Menurut statistik, 2 daripada 100,000 orang di dunia akan menghidap penyakit ini, dan ia lebih banyak ditemui dalam kalangan lelaki berbanding perempuan.
Pesakit polycythemia vera juga berisiko menghidap penyakit yang boleh mengancam nyawa seperti:
- Pulmonary embolism – darah beku pada salur darah daripada jantung ke bahagian paru-paru.
- Darah pekat – dikenali sebagai deep vein thrombosis (DVT), dimana darah beku terbentuk pada mana-mana urat khasnya pada kaki dan betis, akibatnya ia akan membengkak.
- Sakit jantung dan strok.
Mereka yang menghidap polycythemia vera biasanya mempunyai simptom seperti sakit kepala, penat, berpeluh pada waktu malam, penglihatan menjadi kabur, gatal-gatal selepas mandi, dan juga bengkak pada betis.

Sehingga kini, pakar masih belum lagi mengenalpasti punca sebenar polycythemia vera. Malah, ia juga masih tiada penawar dan pesakit terpaksa melakukan rawatan seumur hidup bagi mengawal penyakit ini.
Kebiasaannya, pesakit polycythemia vera dinasihatkan untuk sentiasa aktif bagi meningkatkan kadar degupan jantung yang dapat membantu melancarkan peredaran darah.
Sumber: Hello Doktor
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.