
Baru-baru ini seorang wanita warga emas berusia 75 tahun yang sering berkongsi resepi masakannya di Tiktok mendapat perhatian netizen dek keletahnya yang menghiburkan.
Wanita yang dikenali sebagai Kak Cik Yah itu merakam cara memasak juadah yang sesuai dijadikan lauk untuk makan tengahari daripada awal sehingga sedia untuk dimakan.
Mendapat gelaran ‘Opah Online’, rata-rata netizen menyifatkan aksi bersahaja Kak Cik Yah sebagai menghiburkan dan mencuit hati. Video yang dimuat naik juga merupakan video asal daripada galeri telefon beliau tanpa sebarang suntingan mahupun audio tambahan.
Bukan sekadar itu, meskipun cara penyampaian Kak Cik Yah kadangkala sukar difahami dan kurang jelas, itu tidak menghalang netizen daripada menonton kandungan beliau.
Kak Cik Yah juga dikatakan lebih maju berbanding golongan seusia kerana semua video tersebut dirakam dan dimuat naik oleh beliau sendiri.
Setiap video memasak yang dimulakan dengan frasa “mola mola..” (mula-mula) itu menjadi tagline rasmi Kak Cik Yah dan ruangan komen sentiasa dibanjiri dengan frasa tersebut.
Sehingga kini, akaun Kak Cik Yah telah memiliki lebih 200,000 pengikut dan jutaan suka. Dia juga turut dipanggil menjadi pelakon undangan dalam iklan komersial untuk jenama kambing perap popular, Pak Mat Western.
Sumber: Tiktok (@pakmatwestern.hq)
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.