Foto: ONE Championship
Jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo Ghazali, tampil meluahkan kekecewaannya terhadap trend segelintir selebriti dan pempengaruh media sosial yang kini giat menceburi sukan berkenaan tanpa mematuhi adab serta etika.
Dalam satu hantaran di TikTok, Jojo menyifatkan fenomena itu sebagai sesuatu yang memalukan serta boleh mencemarkan imej dan perkembangan sukan Muay Thai di Malaysia.
“Betul-betul memalukan sekarang, ada influencer, selebriti, macam-macam orang yang acah nak jadi fighter. Berlatih dua tiga minggu lepas tu nak naik ring. Kalau nak bergaduh atau buat gaya macam fighter itu hak masing-masing, tapi bila masuk dalam sukan Muay Thai, tolonglah jaga etika dan adab.
“Jangan bawa perangai tidak bertanggungjawab ke dalam sukan ini. Lagi-lagi penganjur zaman sekarang ramai yang tiada etika,” katanya.
Selain menegur sikap peserta, Jojo turut mengkritik penganjur yang menurutnya lebih mementingkan aspek pemasaran murahan berbanding menjaga martabat Muay Thai.
Menurut beliau, walaupun acara yang melibatkan selebriti dan influencer mampu menjana pulangan kewangan besar, pendekatan sebegitu berisiko merosakkan reputasi sukan tersebut dalam jangka masa panjang.
“Kebanyakan penganjur tiada etika. Sebelum buat pemasaran murahan, pakailah akal fikiran dulu. Bukan susah untuk menjaga adab, pastikan setiap urusan ada hitam putih. Jangan sewenang-wenangnya guna wajah orang lain pada poster semata-mata untuk menarik perhatian,” tegasnya.
Jojo menambah, meskipun penglibatan selebriti dan pempengaruh mampu meningkatkan publisiti, ia tidak sepatutnya dilakukan secara berlebihan sehingga menjejaskan hala tuju sebenar sukan tempur itu.
“Aku faham event sebegini banyak duit. Tapi macam mana Muay Thai dan fighter kita nak maju kalau asyik terlibat dengan pertarungan tidak berkualiti?
“Sekali dua mungkin tidak mengapa, tetapi kalau terlalu kerap, ia merosakkan sukan ini. Dari sudut pemasaran, memang betul selebriti dan influencer boleh membantu, tapi jangan melampau. Gunalah otak, jaga adab dan jangan sampai hancurkan masa depan Muay Thai,” pesannya.
Kenyataan Jojo itu mencerminkan keresahan atlet profesional yang bimbang sekiranya Muay Thai hanya dijadikan platform hiburan tanpa mengutamakan nilai sebenar iaitu disiplin, etika dan profesionalisme.
Jojo berharap semua pihak, termasuk peserta dan penganjur, lebih peka terhadap kepentingan menjaga maruah sukan agar ia terus berkembang ke tahap lebih tinggi dan tidak sekadar dijadikan bahan komersial.
Sumber: TikTok
Seluar Muay Thai — Sukan & Gaya!
Bukan sekadar untuk Muay Thai – potongan trendy & selesa, sesuai juga untuk gaya santai harian.
Beli Sekarang
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.