Penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow mengakui gementar ketika bergabung bersama penyanyi rap antarabangsa Snoop Dogg dalam album terbarunya “The Algorithm (Global Edition)”.
Malah, ramai penyanyi rap di seluruh dunia diberi peluang untuk berkolaborasi di dalam album ini dengan menampilkan penyanyi rap dari Malaysia, Brazil, Korea Selatan, Singapura dan ramai lagi.
Joe tidak menyangka impiannya untuk berkolaborasi bersama idolanya Snoop Dogg akhirnya berhasil.
“Saya teruja dan tak sangka dapat menjadi salah seorang artis yang kolaborasi untuk albumnya. Bagai mimpi, sebab saya sejak kecil lagi minat dengan Snoop Dogg sampai orang panggil saya Joe Snoop.
“Dan saya masih ada lagi simpan baju-baju konsert dan koleksi Snoop Dogg saya ketika kecil lagi, dan peluang sebegini tidak dapat saya lupakan,” katanya ketika di sidang media secara maya.
Malah, syarikat rakaman Def Jam Recordings selaku yang mengangkat bakat-bakat hip hop seluruh dunia juga menjadi tunjang dalam projek ini.
Tambahnya, Joe tetap menulis baris liriknya sendiri dan masih menggunakan Bahasa Malaysia dan campuran sedikit Bahasa Inggeris dalam lagu berjudul “Alright – Redman & Method Man ft. Nefertitti Avani & Joe Flizzow”.
“Ya, sudah semestinya saya tulis lirik sendiri kan, dan lirik yang saya tulis masih dalam Bahasa Malaysia dan saya campur juga Bahasa Inggeris,” ujarnya.
Selainnya, penyanyi rap dari Singapura, Yung Raja juga berpeluang mewakili negaranya untuk menjadi sebahagian dalam album Snoop Dogg melalui lagu “Qualified – Snoop Dogg ft. Larry June, October London & Yung Raja”.
Joe turut mengangkat bakat-bakat hip hop di Asia Tenggara untuk dibawa ke mata dunia.
“Yung Raja juga salah seorang rapper yang bagus di Singapura, kami juga membentangkan beberapa artis kepadanya dan Yung Raja menjadi pilihan Snoop atas bakat dan kualiti muziknya,” kata Joe Flizzow.
Joe berharap semua peminat muzik hip hop tanah air terus menyokongnya dan juga bakat-bakat baharu bagi mengangkat nama Malaysia agar dikenali di seluruh dunia.
Oleh: Muhammad Izwan Zainal