Foto: Harian Metro
Pergolakan rumah tangga yang berlarutan akhirnya membuatkan pelakon popular, Uqasha Senrose, 33, hilang sabar hingga nekad memfailkan perceraian terhadap suaminya, pelakon Kamal Adli, 39, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.
Menurut peguamnya, Nurfarhana Abd Manaf, keputusan itu dibuat selepas anak guamnya merasakan sudah tiada lagi persefahaman dalam rumah tangga mereka.
“Uqasha sudah tidak boleh bersabar dan tiada persefahaman. Itu sahaja yang boleh saya katakan. Kalau selepas ini ada jodoh semula, Alhamdulillah,” katanya kepada media ketika ditemui selepas prosiding pertama selesai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Rabu lalu.
Farhana turut memaklumkan bahawa Kamal tidak menunjukkan sebarang usaha untuk memujuk atau memperbaiki keadaan sepanjang krisis rumah tangga berlaku.
“Apa yang dimaklumkan oleh Uqasha, tiada pujukan daripada pihak suami,” ujarnya.
Sementara itu, Uqasha yang turut hadir ke mahkamah kelihatan enggan mengulas lanjut, namun menggeleng kepala tanda bersetuju dengan kenyataan peguamnya. Beliau turut meminta agar Kamal memberi kerjasama penuh sepanjang proses perceraian dijalankan.
“Saya harap dia beri kerjasama. Jangan buat tidak hadir begini, saya pun ada kerja,” katanya.
Mahkamah menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh prosiding kedua perceraian pasangan tersebut.
Terdahulu, hubungan Uqasha dan Kamal mula menjadi perhatian selepas mereka dilihat tidak lagi saling mengikuti di Instagram, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.
Untuk rekod, pasangan ini berkahwin pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang anak perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 10 bulan.
Sumber: hLive
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.