Foto: Instagram
Pelakon antarabangsa kelahiran Malaysia, Henry Golding, melahirkan rasa syukur dan bangga apabila diberi peluang membawakan watak legenda Melayu, Hang Tuah, dalam filem terbaharu bertajuk The Old Guard 2.
Henry atau nama penuhnya Henry Ewan Golding, yang kini berusia 38 tahun, menyifatkan peranan tersebut sebagai satu penghormatan besar terhadap tokoh pahlawan yang sangat dikenali dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Menurutnya, pemilihan watak itu turut mencerminkan keunikan budaya dan warisan sejarah Malaysia yang perlu diketengahkan di peringkat antarabangsa.
“Dalam sejarah Malaysia, kita mempunyai seorang pahlawan hebat bernama Hang Tuah. Jadi, pemilihan ini memang tepat kerana beliau adalah antara tokoh legenda yang luar biasa dalam kisah rakyat,” jelasnya ketika ditemu bual.
Henry turut berkongsi bahawa pemilihan watak tersebut dibuat bersama pengarah filem The Old Guard 2, Victoria Mahoney, setelah menilai beberapa nama berpotensi untuk mengisi peranan tersebut.
“Victoria dan saya sendiri terlibat dalam proses pemilihan. Dia senaraikan beberapa nama, dan akhirnya kami memilih Tuah sebagai watak paling sesuai untuk filem ini,” katanya lagi.
Menariknya, filem tersebut turut menyelitkan elemen-elemen budaya Malaysia seperti penggunaan keris dan seni pertahanan diri silat, yang menjadi lambang penting dalam dunia kepahlawanan Melayu.
“Keris dan silat merupakan warisan seni pertahanan diri Asia Tenggara, khususnya di Malaysia dan Indonesia. Saya sangat gembira apabila Victoria terbuka menerima idea ini untuk dimasukkan dalam filem,” kata Henry sambil meluahkan keterujaannya kerana dapat menampilkan sentuhan peribadi dalam membentuk watak Tuah.
Dalam The Old Guard 2, watak Tuah digambarkan sebagai seorang lelaki yang mengabdikan diri untuk menjejaki sejarah dan tamadun pahlawan masa silam melalui pembacaan dan kajian mendalam. Sepanjang pengembaraannya menelusuri jejak pahlawan abadi, Tuah ditemani oleh senjata keris yang dianggap sebagai pusaka berharga dalam menghadapi pelbagai ancaman.
Filem yang mula ditayangkan menerusi platform Netflix pada 2 Julai lalu ini turut menampilkan barisan pelakon terkenal antarabangsa seperti Charlize Theron, Uma Thurman, Kiki Layne, Veronica Ngo, Matthias Schoenaerts dan Chiwetel Ejiofor. The Old Guard 2 merupakan kesinambungan kepada filem pertama The Old Guard yang ditayangkan pada tahun 2020, yang mengisahkan perjuangan sekumpulan pahlawan abadi dalam melindungi manusia sejagat daripada pelbagai ancaman.
Sumber: Hib Glam
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.