
Foto: Instagram
Pengacara dan pelakon Hawa Rizwana mengakui bahawa jadual kerjanya yang padat menjadi antara faktor utama beliau masih belum bertemu jodoh. Menurut Hawa, kesibukan kerja sering kali menyukarkan beliau untuk memberi komitmen sepenuhnya dalam hubungan yang baru hendak berputik, terutamanya dalam aspek komunikasi.
"Mungkin saya masih belum bertemu teman hidup disebabkan kesibukan kerja sehingga membuatkan sesebuah hubungan itu tak boleh diteruskan. Saya pula jenis tak reti nak balas mesej cepat, kalau kerja memang fokus.
“Kemudian balik kerja, penat terus tidur. Faktor kekangan masa juga salah satu penghalang dan sukar beri komitmen buat masa ini," ujar Hawa.
Selain itu, Hawa turut mempertahankan diri daripada stigma yang menyatakan dirinya sukar didekati kerana memiliki karakter garang. Beliau menegaskan bahawa beliau tidak pernah terfikir mengenai hal perkahwinan dan tidak memahami mengapa orang takut untuk berkenalan dengan beliau.
"Sebenarnya saya tak pernah terfikir apa pun mengenai hal kahwin. Namun, kebelakangan ini ada orang cakap kemungkinan saya masih solo sebab orang takut nak berkenalan. Buat apa nak takut, saya tak garang pun," tambahnya.
Ditanya mengenai kriteria jejaka idaman, Hawa berharap untuk dipertemukan dengan pasangan yang dapat menerima dirinya seadanya. Beliau juga menyenaraikan beberapa minat bersama yang diharapkan dapat dikongsi dengan pasangan, seperti berlari, menyelam, mendaki, dan berbasikal.
"Wajah yang comel juga bonus dan boleh terima kekurangan masing-masing," katanya sambil tersenyum.
Mengenai perancangan masa depan, Hawa menjelaskan bahawa beliau tidak menetapkan sasaran umur untuk tamatkan zaman bujang dan lebih memilih untuk mengikut aliran hidup, tanpa tekanan atau paksaan.
Sebelum ini, Hawa pernah digosipkan menjalin hubungan dengan penyanyi rap, Noki K-Clique. Namun, kedua-duanya menafikan dakwaan tersebut dan mengakui bahawa mereka hanya berkawan rapat.
Sumber: HibGlam
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.