Foto: Reuters
Aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg membalas kenyataan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menuduhnya mempunyai masalah kemarahan dengan menyindir bahawa Trump sendiri mungkin perlu mendapatkan rawatan untuk mengawal emosinya.
“Saya dengar Donald Trump sekali lagi memberikan pandangannya yang menarik tentang diri saya, dan saya hargai keprihatinannya terhadap kesihatan mental saya.
“Saya amat terbuka untuk menerima apa-apa cadangan beliau tentang cara menangani masalah pengurusan marah ini kerana berdasarkan rekodnya yang mengagumkan, nampaknya beliau sendiri sedang berdepan masalah yang sama,” tulis Greta, 22, di Instagram pada Selasa.
Terdahulu, Trump menyifatkan Thunberg sebagai ‘pemarah’ dan ‘pencetus masalah’ selepas aktivis muda itu ditahan serta diusir oleh pihak Israel berikutan penyertaannya dalam misi Global Sumud Flotilla, konvoi 42 kapal yang cuba menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza tetapi dipintas tentera Israel.
“Dia cuma suka cari masalah. Dia bukan lagi fokus kepada isu alam sekitar. Dia ada masalah marah, saya rasa dia patut jumpa doktor,” kata Trump kepada wartawan.
Ini bukan kali pertama kedua-duanya berbalas kenyataan. Pada Jun lalu, Trump pernah menyifatkan Thunberg sebagai “ganjil” dan “pemarah” selepas misi awalnya menghantar bantuan ke Gaza, yang dibalas Thunberg dengan kenyataan bahawa dunia memerlukan lebih ramai wanita yang berani marah.
Sebelum ini, ketika Trump masih presiden, beliau turut memperlekeh Thunberg yang ketika itu berusia 16 tahun dengan menyindirnya sebagai “seorang gadis muda yang sangat gembira” selepas ucapannya yang lantang mengenai krisis iklim di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Thunberg yang terkenal melalui gerakan Fridays for Future sejak 2018 kini turut memperluas perjuangannya kepada isu kemanusiaan, termasuk menyuarakan sokongan terhadap rakyat Gaza.
Beliau tiba di Greece pada Isnin selepas diusir dari Israel, bersama kira-kira 160 aktivis lain dari flotila tersebut, dan disambut meriah oleh penyokong. Kementerian Luar Israel memaklumkan seramai 171 aktivis dari kapal bantuan itu telah diusir.
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.