Foto: Instagram
Bintang terkenal K-pop, G-Dragon atau nama sebenarnya Kwon Ji-yong, 37, secara rasmi dilantik sebagai duta kehormat bagi Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang bakal berlangsung di Gyeongju, Korea Selatan pada Oktober ini.
Berita pelantikan itu turut dikongsikan sendiri oleh G-Dragon menerusi satu hantaran di media sosialnya, yang meluahkan rasa syukur dan teruja atas pengiktirafan tersebut.
“Saya telah dilantik sebagai duta APEC Summit 2025. Satu penghormatan besar dapat menjadi sebahagian daripada APEX Korea. Terima kasih Wicem,” tulisnya ringkas.
Pengumuman pelantikan berprestij itu dibuat oleh Perdana Menteri Korea Selatan, Kim Min-seok yang juga Pengerusi Jawatankuasa Persiapan Sidang Kemuncak berkenaan, menerusi kenyataan di Facebook rasmi beliau.
Beliau menyifatkan G-Dragon sebagai figura budaya yang ikonik dan inovatif, sekali gus menjadikan pelantikan itu sebagai langkah tepat untuk menarik perhatian global terhadap acara antarabangsa berkenaan.
“Sebagai artis tersohor yang sentiasa menampilkan kreativiti dan pembaharuan dalam setiap karya, semangat G-Dragon sangat seiring dengan aspirasi Sidang Kemuncak APEC tahun ini.
“Menjelang 100 hari sebelum sidang bermula, marilah kita nantikan sinergi antara G-Dragon dan Sidang Kemuncak APEC,” katanya.
Sidang Kemuncak APEC merupakan pertemuan tahunan yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin dari 21 negara anggota rantau Asia-Pasifik bagi membincangkan pelbagai isu ekonomi, perdagangan dan kerjasama serantau.
Tahun ini, sidang penting itu akan berlangsung pada 31 Oktober di Gyeongju, sebuah bandar bersejarah yang kaya dengan warisan budaya.
Pelantikan G-Dragon sebagai duta dilihat sebagai strategi signifikan dalam memanfaatkan pengaruh global budaya pop Korea untuk meningkatkan kesedaran, khususnya dalam kalangan generasi muda, mengenai kepentingan kerjasama ekonomi serantau yang dibawa oleh APEC.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.