Foto sekadar hiasan
Tular baru-baru ini sebuah kumpulan Facebook bernama Group Budak‑budak Sekolah Rendah yang didakwa menampilkan gambar kanak-kanak di bawah umur lengkap dengan komen berunsur lucah dan jijik.
Kumpulan ini dianggotai lebih 12,000 pengguna dan menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan netizen serta pihak berkuasa.
Isu ini mula mendapat perhatian apabila penyanyi rap Caprice menerima mesej melalui Instagram mengenai wujudnya kumpulan tersebut
Dia segera menggunakan platformnya untuk menuntut tindakan segera daripada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pihak polis.
Turut menyuarakan keprihatinan adalah bekas guru dan aktivis Mohd Fadli Salleh. Beliau menegaskan bahawa kumpulan tersebut jelas menunjukkan unsur pedofilia dan meminta SKMM mengesan pentadbir kumpulan dan mengambil tindakan sewajarnya.
Seorang pempengaruh dikenali sebagai Mek Yun juga menjadi mangsa apabila gambar masa sekolahnya digunakan dalam kumpulan tersebut.
Beliau menyifatkan ia sebagai jenayah dan menuntut SKMM serta polis menyiasat dengan segera bagi melindungi kanak-kanak dari dieksploitasi.
Menurut Mohd Fadli Salleh kumpulan FB tersebut dipercayai telah dipadam atau diturunkan oleh pihak SKMM. Bagaimanapun beliau menyeru agar pihak berkuasa tidak berhenti setakat itu tetapi terus menyiasat semua individu yang terlibat.
Reaksi masyarakat pula melahirkan kemarahan dengan ramai mendesak tindakan keras diambil. Ada yang berpendapat ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memantau akaun sosial anak mereka.
Netizen juga mengingatkan bahawa menyebarkan gambar di bawah umur tanpa kebenaran adalah melanggar Akta Kanak‑Kanak 2001 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.