Pelakon, Fizo Omar mengesahkan bahawa bekas isteri, Mawar Abdul Karim dan anak tunggal mereka, Wan Maryam, positif COVID-19.
Dalam satu video yang dikongsikan Fizo di Instagram, beliau berharap agar anak dan bekas isterinya itu dalam keadaan kuat, sambil memaklumkan bahawa keadaan mereka berdua kini terkawal.
Fizo juga meluahkan rasa sebak kerana buat masa ini beliau sendiri tidak mampu berbuat apa-apa, melainkan hanya berdoa agar mereka berdua kuat menghadapi ujian ini.
"Seperti mana yang saya beritahu sebelum ini, anak saya Wan Maryam dan bekas isteri, Mawar sah dijangkiti COVID-19 sejak 1 Januari lalu.
"Sekarang ini Mawar dan Maryam sedang menjalani rawatan di PPUM. Keadaan masih lagi terkawal. Mawar ada menunjukkan simptom batuk, sakit dada, sesak nafas dan hilang deria rasa manakala Maryam masih normal, masih aktif berlari dan harapnya Maryam kuat.”
"Sebagai bapa, saya tak tahu nak buat apa. Apabila saya dapat tahu, kita tak boleh salahkan mana-mana pihak. Tak ada sesiapa yang mahu anak mereka dijangkiti wabak ini kerana kita tak boleh nampak.
"Walaupun saya dan Mawar terlalu berhati-hati dan hanya keluar apabila ada perkara penting saja, tapi kalau dah nak jadi, ia tetap terjadi.”
"Saya harap ada hikmah di sebaliknya dan mengharapkan doa anda semua semoga Maryam dan Mawar kuat. Saya lega apabila Mawar berada di sisi Maryam kerana saya tak boleh bayangkan jika Maryam dirawat berseorangan. Saya hilang kata-kata, tak boleh buat apa, tak boleh lawat, hanya boleh tengok video anak saya dibawa menaiki ambulans. Semua tak boleh saya lakukan, saya harap anda semua faham. Jangan ambil mudah dengan COVID-19. Ambil sebagai tanggungjawab memandangkan kes juga semakin meningkat, jadi selalulah amalkan sikap berjaga-jaga," katanya menerusi satu hantaran video di Instagram.
Terdahulu, Mawar berkongsi foto menaiki ambulans selepas mengesahkan diri dan anaknya positid COVID-19.
Mawar juga mengucapkan ucapan terima kasih kepada semua yang mendoakan mereka.
"Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya dan Maryam. Hanya Allah saja dapat membalas jasa baik kalian. Semoga saya dan Maryam terus sihat. Insya-Allah.
"Terima kasih juga kepada petugas barisan hadapan. Maaf kalau saya tak dapat nak jawab panggilan atau emel dan apa-apa dari media sosial. Saya dan Maryam boleh lawan. Maryam anak yang kuat," kata Mawar.
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.