Foto: Instagram
Naib juara Indonesian Idol musim ke-16, Fajar Noor secara terbuka mengakui pernah menjalinkan hubungan cinta lokasi bersama juara program realiti tersebut, Shabrina Leanor.
Fajar yang kini berusia 21 tahun tidak menafikan perkara tersebut, namun enggan mengulas lanjut mengenai punca berakhirnya hubungan tersebut dengan Shabrina yang berusia 25 tahun.
"Ya, memang pernah... seketika, tetapi itu sudah menjadi kisah lalu," ujar Fajar jujur ketika ditemui pihak media.
Menurut penyanyi bersuara merdu itu, hubungan yang terjalin antara mereka dipercayai wujud kerana tempoh masa yang panjang dihabiskan bersama sepanjang program tersebut berlangsung.
"Ya, mungkin hubungan cinta lokasi itu terjadi disebabkan kebersamaan kami dalam program yang agak lama," katanya lagi ketika menjawab pertanyaan media.
Fajar ditemui dalam satu sesi promosi dua buah single terbaharunya berjudul Tahta Hatiku #Pendampingmu dan Menjaga Hati, lagu remake daripada kumpulan terkenal Yovie & Nuno, di Universal Music Malaysia, Petaling Jaya, Selangor.
Bagaimanapun, Fajar menegaskan bahawa dirinya kini mahu melangkah lebih jauh dalam industri seni berdasarkan bakat sendiri, tanpa dikaitkan dengan kisah percintaan lalu.
"Sekarang saya tidak ada masalah untuk berdiri sendiri. Selain daripada dua single yang sedang dipromosikan, saya juga aktif menulis lagu sendiri.
“Fokus saya sekarang adalah pada kerjaya dan berkarya dengan lebih produktif,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, menyentuh tentang pengalamannya menyertai Indonesian Idol, Fajar mengakui bahawa beliau tidak pernah menetapkan harapan tinggi untuk menjadi juara.
Namun begitu, anak kelahiran Medan ini berusaha memberikan persembahan terbaik dan bakat yang dimilikinya berjaya memikat hati juri serta para peminat muzik tanah air.
“Saya percaya rezeki tidak pernah tersalah alamat. Apa jua cabaran yang perlu saya lalui ketika itu, saya hadapi dengan tenang. Santai saja,” katanya sambil menambah bahawa beliau mula menyedari keistimewaan suara yang dimilikinya sejak zaman persekolahan lagi.
Sumber: Astro Gempak
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.