Penyanyi versatil, Faizal Tahir bergandingan bersama penyanyi, pelakon dan pengacara berimej ‘polos’, Amira Othman, dalam sebuah single istimewa berentak pop rakyat ala Melayu yang diberi judul ‘Alah Bisa’.
Projek ini hasil kerjasama kreatif di antara label rakaman butik, Faithful Music, bersama-sama label hiburan terkemuka tanah air, Rocketfuel Entertainment.
“Pada mulanya saya agak terkejut juga apabila diberitahu oleh pihak Rocketfuel tentang kolaborasi ini bersama abang Faizal Tahir kerana sebuah nama besar dalam industri muzik kita sudi mempelawa saya untuk bekerjasama secara duet dalam sebuah lagu.
“Alhamdulillah, saya anggap ini semua rezeki yang tidak disangka-sangka, siapa yang tidak mahu berduet dengan beliau kerana abang Faizal Tahir merupakan salah satu pencetus inspirasi saya ketika berada di Akademi Fantasia pada tahun 2013,” kata Amira.
Malah, single Alah Bisa juga merupakan hasil ciptaan Faizal Tahir sendiri, bersama-sama komposer berbakat seperti Glow Rush, Nick Ariff, Acap Salim dan Mage dari Faithful Publishing.
“Jika pendengar selami maksudnya, single ini pada dasarnya kedengaran seperti pantun nasihat empat rangkap orang Melayu dulu-dulu dengan suku kata yang berima.
“Dalam hidup ini kalau hendak berjaya perlu ada disiplin yang tinggi dan konsisten dalam apa jua yang dilakukan, dan tiada praktis lain mendisiplinkan diri yang lebih baik dari menjaga solat.
“In Shaa Allah kalau solat seseorang itu dijaga, kejayaan pasti diraih bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat kelak, ternyata ianya bukan mudah bak pepatah Melayu ‘alah bisa tegal biasa’ yang bermaksud ‘perkara atau kerja yang susah menjadi senang kalau selalu diamalkan’.
“Selain itu, lagu ini juga memberi mesej agar kita tidak sombong kerana tahap sombong yang paling tinggi dengan Allah adalah dengan tidak menjaga solat setelah apa yang dikurniakan oleh-Nya dalam kehidupan seharian,” ujar Faizal.
Tambah Amira, kolaborasi kali ini antara projek yang mencabar kerana pembawakan lagu yang berlainan sebelum ini.
“Saya memasuki Studio Faithful sebanyak dua kali, pertama untuk mendengar demo dan kemudiannya untuk proses rakaman yang memakan masa sekitar lima ke enam jam lamanya.
“Banyak yang saya pelajari dari abang Faizal Tahir ketika berada di studio, Glow Rush dan seluruh team sangat supportive dan senang bekerjasama dengan mereka,” jelasnya.
Menariknya, konsep pop Melayu dan elemen lagu rakyat ini tetap diselitkan dengan muzik moden agar kedengaran segar dan lebih ‘catchy’ buat pendengar.
“It’s in my blood,” terang Faizal Tahir ringkas.
Hasil muzik video bagi single Alah Bisa ini memberikan konsep drama pendek dengan elemen komedi menjadi intipati.
“MV ini memaparkan watak saya sebagai bapa kepada Amira yang memberi pesan walau apa jua yang kita lakukan teruskanlah menjaga solat, kerana solat yang konsisten akan membawa kita kembali ke jalan yang lurus dan betul.
“Kita akan melalui zaman yang berbeza daripada ibu bapa dan anak-anak kita dengan pelbagai ragam manusia, janganlah kita sesekali menilai dan menjatuhkan hukuman berdasarkan zahirnya sahaja kerana kita tidak tahu cerita mereka terutamanya dari segi ibadah mereka, katanya.
Single terbaru Alah Bisa gabungan Faizal Tahir dan Amira Othman sudah boleh dinikmati di semua platform penstriman muzik dan muzik video juga boleh ditonton di saluran YouTube Faizal Tahir.