Foto: Instagram
ERA, stesen radio nombor satu negara, kembali mencetuskan keterujaan dengan pelancaran Pencarian Bakat Baru Penyampai ERA, sebuah inisiatif bagi membuka peluang kepada generasi muda yang berpotensi dalam dunia penyiaran.
Program ini bukan sekadar pertandingan biasa, tetapi satu usaha strategik untuk memastikan kesinambungan legasi penyampai ERA agar terus segar, relevan dan dekat di hati pendengar pelbagai generasi.
Menurut Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin, peranan penyampai radio kini lebih luas daripada sekadar menyampaikan lagu atau berita.
“Penyampai ialah teman setia pendengar setiap hari. Menerusi pencarian ini, kami mahu mencari suara baharu yang bukan sahaja berbakat, tetapi memahami budaya semasa serta mampu berhubung dengan pendengar secara autentik,” katanya.
Syarat Penyertaan Mudah dan Terbuka kepada Semua
Pencarian ini terbuka kepada individu berumur antara 18 hingga 30 tahun, lelaki atau perempuan.
Peserta hanya perlu memuat naik video pendek berdurasi maksimum satu minit yang mempamerkan gaya dan kebolehan mereka sebagai penyampai radio.
Video tersebut perlu dimuat naik di Instagram atau TikTok dengan tanda pagar #penyampaibaruERA dan tag akaun rasmi @era.je
Bagi memastikan penyertaan diterima, akaun media sosial peserta mesti disetkan kepada mod Public.
ERA juga bakal mengadakan sesi uji bakat luar studio di beberapa lokasi terpilih yang akan diumumkan tidak lama lagi. Langkah ini bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak berkesempatan hadir ke studio untuk turut menunjukkan bakat dan personaliti masing-masing.
Bakat Baharu untuk Legasi Lama
Kali terakhir ERA menganjurkan sesi pencarian seumpama ini ialah pada tahun 2019, yang telah melahirkan penyampai berbakat seperti Radin (2014) dan Munabella (2019) yang kini antara suara utama dalam dunia radio tempatan.
Hadiah Lumayan Menanti
Tempat pertama bakal membawa pulang RM3,000 berserta kontrak penyampai ERA selama setahun.
Tempat kedua akan menerima RM2,000, tempat ketiga RM1,000, manakala tempat keempat dan kelima masing-masing membawa pulang RM500.
Majlis khas pengumuman pemenang dijangka berlangsung bulan depan dalam suasana penuh meriah, dihadiri oleh peminat ERA serta pemain industri penyiaran tempatan.
Azah turut menegaskan bahawa pencarian ini menjadi sebahagian daripada komitmen ERA untuk terus berinovasi dan bergerak seiring dengan perubahan landskap media.
“Dengan kehadiran penyampai baharu yang segar dan bersemangat, kami yakin ERA akan terus kekal sebagai stesen radio pilihan nombor satu rakyat Malaysia,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti semua platform media sosial rasmi ERA.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.