Penyanyi, Elyana yang menghidap kanser limfoma teruja apabila dapat berkongsi berita yang kini sudah bebas daripada sel barah yang merebak dalam tubuhnya.
Menerusi hantaran di laman Instagram, Elyana meluahkan rasa syukur tidak terhingga setelah perjuangannya selama ini berhasil melawan kanser.
“Hari ini saya ingin berkongsi rasa gembira dan bersyukur dengan anda semua. Perjuangan dan penantian selama 11 tahun saya berhasil. Kanser saya sudah hilang!
“Alhamdulillah Ya Allah. Terima Kasih Ya Allah. Kau telah mendengar doa kami. Tak dapat saya gambarkan perasaan gembira ini.
“Terlalu lama tak dapat gambarkan ada tubuh badan yang sihat. ‘I love you Allah’,” katanya.
Malah, penyanyi itu juga mengakui sudah lebih menjalani 20 kali rawatan kimoterapi dan 30 sesi radioterapi.
Terdahulu, pelantun lagu Kalis Rindu itu mendapat perkhabaran duka apabila tahun lalu sel kansernya dilaporkan sudah merebak ke bahagian anggota badan yang lain seperti hati, pangkal peha dan rahim.
Ia juga menyebabkan dia susut berat badan hampir 35 kilogram akibat daripada kanser dihadapinya.
Namun, dia terus kuat bertarung melawan penyakitnya atas berkat usaha dan doa daripada semua pihak agar dia kembali pulih.
Oleh: Muhammad Izwan Zainal
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.