Foto: Instagram
Pelakon popular tanah air, Mira Filzah, melakar pencapaian membanggakan apabila drama terbaharunya berjudul Gadis Masa berjaya tercalon dalam kategori OTT Original Terbaik di International Streaming Festival Global OTT Awards 2025. Pencalonan ini sekali gus menandakan satu lagi detik bersejarah dalam industri hiburan tempatan.
Lebih manis, Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 32, turut mencipta sejarah peribadi apabila menjadi pelakon wanita Malaysia pertama dijemput sebagai penyampai anugerah pada majlis berprestij yang berlangsung di Busan, Korea Selatan.
Mengulas mengenai pencalonan tersebut, Mira mengakui dirinya tidak menyangka drama berkenaan berjaya menembusi persaingan antarabangsa memandangkan ia berdepan dengan produksi hebat dari pelbagai negara.
“Saya benar-benar terkejut apabila mendapat tahu Gadis Masa tercalon. Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana ini bukanlah pencalonan biasa. Kita bersaing dengan produksi antarabangsa yang besar dan berkualiti tinggi,” katanya penuh teruja.
Mira menambah, pengiktirafan itu bukan hanya untuk dirinya semata-mata, tetapi merupakan hasil kerja keras keseluruhan pasukan produksi.
“Saya berharap selepas ini lebih banyak karya tempatan mampu menembusi pasaran global. Ini bukti bahawa kita juga mempunyai karya berkualiti yang boleh diterima di luar negara,” katanya.
Drama Gadis Masa merupakan hasil arahan Yussuf Yunus dengan idea asal daripada Syarul Akmal serta diterbitkan oleh Cinemalaya Studios untuk platform penstriman Viu. Drama bergenre romantik komedi itu turut menampilkan gandingan pelakon popular seperti Syafiq Kyle dan Tracie Sinidol.
Karya tersebut mengisahkan seorang wanita muda yang kembali ke masa lalu untuk menghalang suaminya daripada menceraikannya. Namun, setiap percubaannya membawa kesan yang tidak disangka-sangka, sekali gus menjadikan jalan ceritanya segar dan di luar kebiasaan.
Sejak ditayangkan pada awal tahun 2025, Gadis Masa menerima pujian kritikal serta sambutan luar biasa daripada penonton kerana penceritaan yang kreatif dan menyentuh emosi. Drama ini dilihat berjaya mengangkat karya tempatan ke tahap lebih tinggi dengan menembusi pasaran antarabangsa melalui pencalonan berprestij tersebut.
Majlis anugerah Global OTT Awards 2025 yang berlangsung pada hari ini akan turut menyaksikan Mira bersama pihak produksi menghadiri acara karpet merah, sekali gus mewakili industri hiburan Malaysia di pentas dunia.
Sumber: HibGlam
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.