
Foto: Kosmo
Penyanyi berbakat, Didie Shazry, menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai juara pertama program realiti nyanyian Raise The Star Malaysia pada pentas akhir yang berlangsung di Royal Theatre, Shah Alam, malam ini.
Kemenangan tersebut membolehkan Didie membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 berserta trofi, selain peluang merakamkan sebuah single baharu. Persembahan bertenaga beliau menerusi lagu Peganglah Hati ciptaan Aina Abdul menjadi faktor penentu kejayaan tersebut.
Naib juara disandang oleh Zuana yang menerima hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi dan peluang merakamkan single, manakala tempat ketiga menjadi milik Raymee yang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta trofi dan peluang yang sama.
Sementara itu, peserta Hariz Fayahet dan Keka masing-masing berada di kedudukan keempat dan kelima, sekali gus memperoleh hadiah wang tunai RM5,000 beserta trofi serta peluang merakamkan single.
Program Raise The Star Malaysia yang bersiaran selama lapan minggu ini disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan turut boleh ditonton melalui platform digital Astro GO serta sooka.
Berbeza daripada format konvensional program realiti nyanyian lain, pertandingan ini menonjolkan perspektif komposer dalam proses pemilihan dan pembangunan bakat baharu.
Barisan komposer terkenal yang terlibat pada musim pertama ini terdiri daripada Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah dan Ikhwan Fatanna. Dengan pengalaman luas dalam industri muzik, mereka bukan sahaja bertindak sebagai juri, malah turut menghasilkan lagu khas untuk peserta pilihan masing-masing yang berjaya ke pentas akhir.
Penilaian peserta dibuat oleh komposer berdasarkan mutu persembahan dengan peratusan markah sebanyak 80 peratus, manakala 20 peratus lagi ditentukan melalui undian penonton.
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.