Foto: Threads
Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha meluahkan kekecewaan mendalam apabila terus-menerus dikejutkan dengan pelbagai khabar angin dan fitnah yang disasarkan kepadanya.
Baginya, khabar tidak benar itu sangat membebankan mental dan emosi.
Daiyan berkata dia sudah terlalu penat melayan tuduhan liar terutama daripada individu yang jelas berniat jahat.
“Saya malas dan tak kisah langsung nak betulkan apa-apa khabar angin bodoh tentang saya,” luahnya dalam satu hantaran di platform media sosial.
Dia turut menegaskan bahawa seringkali khabar yang tersebar dikaitkan dengan dirinya, sedangkan ketika itu, dia langsung tidak berada di tempat atau situasi yang didakwa.
“Ada kata-kata yang kononnya saya ucapkan dalam situasi yang saya sendiri tak pernah muncul pun,” jelasnya lagi.
Disebabkan itu, Daiyan memilih untuk mengabaikan gosip dan fitnah semata, memberi tumpuan kepada kerjaya dan kesihatan mental, serta enggan membazirkan tenaga untuk memperbetulkan dakwaan kosong.
“Silakan, tetapi harap jangan kacau hidup saya lagi,” katanya, sekali gus menjelaskan bahawa dirinya sudah enggan mengambil pusing sekirangnya ada pihak yang masih mahu mempercayai cerita karut tersebut
Ramai peminat dan rakan artis menyuarakan sokongan selepas kenyataan tersebut. Netizen memuji keberanian Daiyan yang memilih untuk tenang dan fokus kepada perkara positif walaupun dibebani khabar angin.
Isu ini bukanlah sesuatu baru bagi Daiyan. Sebelum ini, dia sudah beberapa kali menjadi mangsa fitnah termasuk dakwaan palsu bahawa dia telah menukar agama atau sudah berkahwin dengan individu kenamaan.
Walaupun cerita tersebut telah dinafikan, khabar angin seperti itu tetap berlegar, sering muncul kembali.
Dengan keputusan untuk tidak melayan lagi gosip dan fitnah, Daiyan tampak lebih tabah dan tegas dalam mempertahankan hak dirinya.
Tindakannya ini dianggap sebagai pengajaran penting bahawa kadang-kadang lebih baik membiarkan fitnah berlalu daripada terus memberi perhatian kepada benda negatif yang tidak berasas.
Sumber: Threads
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.