Foto sekadar hiasan
Seorang lelaki yang suatu ketika dahulu pernah dikenali sebagai pembuli tegar di alam persekolahan, kini menjadi perhatian warga maya apabila tampil menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan anaknya di sekolah. Beliau dilaporkan sedang mencari institusi pendidikan berasrama penuh yang bebas daripada budaya buli, demi memastikan anaknya membesar dalam persekitaran yang sihat dan selamat.
Namun begitu, tindakan lelaki tersebut telah mengundang reaksi pelbagai pihak, khususnya rakan-rakan lama yang pernah menjadi mangsanya. Mereka menyifatkan permintaan lelaki itu sebagai sesuatu yang sangat ironi dan bertentangan dengan sejarah silamnya yang penuh dengan perlakuan membuli.
Menurut satu hantaran yang tular di media sosial Threads, seorang individu yang pernah menjadi mangsa buli lelaki tersebut menyatakan bahawa beliau secara tidak sengaja terlihat gambar profil pasangan itu bersama anak-anak mereka di media sosial.
Katanya, perasaan tertekan serta trauma lama terus menjelma apabila mengenang kembali pengalaman pahit di zaman persekolahan dahulu.
“Terkejut bila tengok gambar sekeluarga dia. Suami dia dulu ‘bapak segala setan’ masa sekolah. Suruh orang basuh baju, minta orang masakkan maggi, hantar makanan, bahkan kaki paw duit kawan. Sampai ke hari ini saya masih trauma,” luah individu berkenaan.
Hantaran tersebut nyata menarik perhatian ramai pengguna lain yang turut berkongsi pengalaman serupa dan menzahirkan perasaan tidak puas hati terhadap sikap hipokrit si pembuli, yang kini pula menginginkan persekitaran selamat buat zuriatnya.
Seorang pengguna lain turut menyatakan bahawa walaupun mereka tidak menyalahkan anak-anak individu berkenaan, namun luka lama akibat perbuatan si bapa masih belum sembuh dan permohonan maaf masih ditagih hingga ke hari ini.
“Alhamdulillah mereka hidup bahagia, tetapi saya tetap akan tuntut hak untuk minta maaf kerana perbuatan dia menjejaskan kesihatan mental kami. Anak-anak mereka tidak bersalah, yang bersalah adalah diri sendiri,” tulisnya.
Kisah ini turut mengingatkan pengguna kepada satu insiden lama di mana seorang pembuli yang cuba bermain watak mangsa di Facebook akhirnya ‘dibuka pekung’ oleh mangsa-mangsanya. Dalam hantaran tersebut, pembuli berkenaan mendakwa dirinya pernah menjadi mangsa buli, namun kenyataan itu segera dibidas oleh beberapa individu lain yang tampil mendedahkan perlakuan sebenarnya ketika di sekolah dahulu.
“Dia muat naik status kononnya dia mangsa buli. Ramai pula yang menyokong, termasuk rakan baik dia yang juga pelajar popular dan kesayangan guru.
“Tapi bila mangsa-mangsa baca, mereka rasa tidak adil. Akhirnya mereka semua komen dan dedahkan apa yang sebenarnya berlaku dulu. Terus dia minta maaf kepada semua,” kongsi seorang wanita di Threads berdasarkan tangkap layar hantaran tersebut.
Dalam pada itu, ramai netizen turut menzahirkan rasa jengkel terhadap sikap tidak sedar diri individu tersebut yang kini bersungguh-sungguh mencari sekolah terbaik untuk anak, sedangkan dirinya dahulu pernah merosakkan masa depan orang lain.
“Kemain cari sekolah elok untuk anak, tapi tak sedar diri sendiri dulu pembuli yang paling teruk,” tulis seorang pengguna.
Kisah ini mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen mengenai pentingnya kesedaran diri, keinsafan dan permohonan maaf yang tulus terhadap kesalahan lalu, terutama jika ia memberi kesan mendalam terhadap kehidupan orang lain.
Sumber: Threads
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.