Foto: MSNews
Sebagai tanda simpati dan sokongan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Grab merangkap pengasas bersama, Anthony Tan berangkat dari Singapura ke Makassar, Indonesia semalam, lapor portal MSNews.
Lawatan itu adalah untuk menziarahi keluarga Rusdamdiansyah atau lebih dikenali sebagai Dandi, pemandu berusia 26 tahun yang meninggal dunia pada 29 Ogos lalu selepas dipukul ketika kekecohan di hadapan Universiti Muslim Indonesia.
Menurut CNA Indonesia, Dandi pada ketika itu sedang merakam gambar dan video demonstrasi sebelum disangka sebagai pegawai risikan penyamaran lalu diserang.
Akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan parah di kepala termasuk pendarahan otak serta tengkorak retak, sebelum meninggal dunia beberapa hari kemudian setelah koma.
Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Makassar mengesahkan Dandi tidak terlibat dengan mana-mana pihak yang mencetuskan kekacauan.
Anthony turut hadir bersama barisan pemimpin Grab Indonesia iaitu Dyah NK Makhijani, Dion Soetadi, Halim Wijaya, Tirza Munusamy dan Melinda Savitri. Mereka menyampaikan sokongan moral serta bantuan kewangan kepada keluarga mangsa.
“Grab mahu memastikan bahawa dalam saat gembira mahupun berduka, keluarga arwah Dandi tidak ditinggalkan sendirian,” kata Anthony dalam kenyataannya.
Syarikat itu turut menyalurkan bantuan kewangan segera, sokongan logistik serta perlindungan kesihatan. Selain itu, modal perniagaan akan disediakan menerusi program GrabKios, platform digital yang membantu individu, pemilik kedai kecil serta usahawan mikro menambah pendapatan.
Sumber: Agensi
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.