Foto: Instagram
BLACKPINK sekali lagi mencipta detik bersejarah apabila diumumkan sebagai artis K pop pertama yang mengadakan kerjasama rasmi dengan National Museum of Korea.
Kolaborasi istimewa itu diadakan bersempena pelancaran mini album ketiga mereka yang berjudul DEADLINE.
Menurut YG Entertainment, projek bertemakan National Museum of Korea X BLACKPINK akan berlangsung bermula 26 Februari hingga 8 Mac. Sepanjang tempoh tersebut, bangunan muzium berkenaan akan dihiasi pencahayaan berwarna merah jambu sebagai simbol identiti kumpulan itu.
Selain acara visual, para anggota BLACKPINK turut menyumbang suara dalam perkhidmatan audio penerangan bagi lapan artifak terpilih. Inisiatif itu membolehkan pengunjung menikmati pengalaman menelusuri sejarah dan warisan Korea dengan bimbingan suara artis kegemaran mereka.
Satu lagi acara istimewa ialah sesi mendengar kesemua lagu dalam mini album DEADLINE yang akan diadakan di ruang utama muzium, iaitu di kawasan Gwanggaeto Stele dalam laluan dikenali sebagai Path of History. Sebahagian sesi ditawarkan secara eksklusif kepada pengguna Spotify Premium.
Sesi pra dengar akan dibuka sehari sebelum album dilancarkan secara rasmi. Mereka yang berminat perlu membuat tempahan menerusi platform Naver yang akan mula dibuka pada 19 Februari jam 8 malam. Bermula 27 Februari jam 2 petang, selepas album diterbitkan, orang ramai boleh menyertai sesi tersebut sepanjang waktu operasi muzium.
Mini album DEADLINE dijadualkan dilancarkan pada 27 Februari jam 2 petang dan memuatkan lima lagu iaitu GO sebagai lagu utama selain JUMP, Me and My, Champion dan Fxxxboy.
Menurut YG Entertainment, album ini bakal memaparkan detik terbaik yang sukar diulang serta menggambarkan fasa paling bersinar BLACKPINK ketika ini.
Sumber: Chosun Daily
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.