Pelakon versatil, Beto Kusyairy menjadi tumpuan ramai apabila tampil memberanikan diri untuk melakukan aksi lagak ngeri sendiri di set penggambaran sebuah drama.
Menerusi hantaran di laman Instagram Nabila Huda, video itu memaparkan Beto sedang melakukan sebuah babak dirinya sedang dijilat api seluruh tubuh badan.
Namun, Beto berkongsi lakonan seperti itu bukanlah sesuatu yang wajib atau ‘benchmark’ bagi seseorang pelakon.
“Perhatian. Jangan cuba meniru aksi ini tanpa pengawasan pakar.
“Penerbit dah hire mereka yang arif dalam hal ini, professional stunt team yang dah established. Dah disediakan juga stuntdouble untuk 'jadi' saya. Tetapi saya yang request nak buat sendiri. Kenapa? Ah adalah sebabnya.
“Ini bukan bermakna yang seorang pelakon memang kena buat babak-babak yang berisiko tinggi sebegini 'sendiri' untuk diangkat menjadi pelakon yang baik atau kononnya real actor.
"Saya ulang… INI BUKAN BENCHMARK & TAK PERLU PUN,” tulisnya di Instagram.
Malah, Beto mengakui dia sendiri yang mahu melakukan aksi lagak ngeri tersebut di bawah pengawasan pakar ketika di set penggambaran.
“Saya tak request buta kosong begitu sahaja. Nak kena ada ilmu dan fahami teknik untuk aksi sebegini, nak kena ada pengawasan dan seliaan ketat oleh mereka yang benar-benar pakar dalam bidang ini.
“Nak kena lulus ujian dari pakar-pakar ini dulu sebelum dapat lampu hijau dan nak kena ada keyakinan pada kemampuan diri dulu (bukan berani bodoh).
“Selainnya adalah doa, fokus dan ketenangan. Insya-ALLAH,” katanya lagi.
Beto menasihati orang ramai agar tidak meniru aksi lagak ngeri yang dilakukannya dan berharap agar para pelakon baharu di industri terus bangkit untuk menjadi anak seni yang berkualiti.
Oleh: Muhammad Izwan Zainal
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.