Selepas tiga minggu bertarung nyawa melawan jangkitan COVID-19, bapa penyanyi Azlan Typewriter meninggal dunia petang semalam.
Allahyarham Sallehudin Che Ani menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.25 petang di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang.
Detik menyayat hati pemergian bapanya hanya mampu dilihat Azlan menerusi panggilan video sahaja.
“Ayah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.25 petang tadi (Rabu).
"Perasaan saya sayu apabila tengok sendiri Allahyarham perlahan-lahan menghembuskan nafas terakhir.
“Pihak hospital beri kebenaran kami buat panggilan video dan semua adik-beradik saya pun ada sekali dalam sesi tersebut.
“Bila sampai tahap tak boleh uruskan jenazah sebab COVID-19, saya hanya berserah kepada ketentuan Allah,” katanya.
Jenazah Allahyarham Sallehudin disempurnakan pihak hospital sehingga ke liang lahad mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) penyakit berjangkit yang ditetapkan.
Pelantun lagu 'Jangan Khianati Aku' itu dimaklumkan pihak hospital bahawa ayahnya sudah tiada harapan untuk hidup selepas dijangkiti COVID-19 dan ditambah lagi dengan penyakit kronik yang dialami bapanya.
Difahamkan, Azlan kali terakhir bertemu dengan bapanya sekitar tiga minggu lalu sebelum arwah dimasukkan ke hospital disebabkan positif COVID-19.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.