
Foto: Instagram (@hotelcatz)
Dalam dunia pencinta haiwan, kasih sayang terhadap kucing bukan sekadar hobi, tetapi ia juga merupakan satu tanggungjawab. Namun, dalam senyap-senyap, ada ‘pemangsa’ yang berselindung di sebalik topeng penyayang. Mereka ialah golongan yang sebenarnya ‘snake feeder’.
‘Snake feeder’ merujuk kepada seseorang yang memberi makanan kepada ular, biasanya dalam konteks penjagaan haiwan peliharaan reptilia atau penternakan ular. Individu ini bertanggungjawab menyediakan makanan sesuai seperti tikus serta memastikan kebersihan dan keselamatan sepanjang proses pemakanan.

Foto Hiasan
Selain itu, ia juga turut menjadi istilah yang digunakan untuk menggambarkan mereka yang mencari anak kucing, arnab atau haiwan kecil lain melalui media sosial, dengan tujuan menjadikannya sebagai makanan hidup untuk ular peliharaan mereka. Golongan ini dikritik menurut perspektif etika.
Snake feeder bukanlah pencinta haiwan. Ini kerana mereka amat kejam dan tidak berhati perut. Walaupun bunyinya agak mustahil untuk seseorang mengorbankan kucing atau arnab untuk diberi makan kepada ular, tetapi ia semakin kerap berlaku, terutama dalam kalangan pemilik ular eksotik yang tidak mahu berbelanja untuk makanan beku atau alternatif lebih berperikemanusiaan.
🛑 Ciri-Ciri Snake Feeder Yang Wajib Anda Tahu
Selalunya, mereka hanya berminat pada anak kucing dan langsung tidak bertanya mengenai ibu atau keadaan keluarga kucing. Profil akaun media sosial mereka juga mencurigakan, tiada gambar, tiada sejarah. Ini taktik untuk elak dikesan jika sesuatu berlaku. Mereka juga sangat takut dikesan, maka mereka selalunya enggan berkongsi alamat sebenar. Selain itu, mereka cenderung menyukai anak kucing jantan berusia kurang daripada setahun kerana lebih besar, aktif dan ‘sesuai’ dijadikan mangsa ular. Tidak cukup dengan itu, mereka akan terus menyekat akaun pemilik kucing supaya tiada siapa bertanya perihal kucing yang telah diambil.
❗ Nasihat Buat Pemilik Kucing
Sebelum anda menyerahkan kucing, lakukan soal selidik mengenai latar belakang orang yang bakal mengambil kucing. Semak lokasi tempat tinggal dan profil media sosial mereka. Selain itu, anda tidak perlu terburu-buru dan mudah percaya dengan orang yang ingin mengambil kucing anda. Akhir sekali, minta kemaskini selepas pengambilan dilakukan untuk melihat keadaan kucing.
Sebagai pemilik atau penyelamat kucing, kita bertanggungjawab memastikan mereka mendapat rumah yang selamat dan penyayang. Jangan biar niat baik kita dimanipulasi oleh manusia yang tidak berhati perut.
Sebarkan kesedaran ini. Kucing bukan mangsa eksperimen. Mereka ialah makhluk bernyawa yang layak disayangi dan dilindungi.
Sumber: Instagram (@hotelcatz)
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.