Sejak krisis kesihatan global bermula awal tahun ini, tahun 2020 disebut sebagai tahun paling mencabar buat seluruh penduduk dunia. Suasana ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19 memberi impak besar ke setiap lapisan masyarakat.
Hampir tiba ke penghujung tahun 2020, sudah pasti ramai menantikan krisis kesihatan global ini cepat berakhir. Malah ada yang berharap, tahun baharu 2021 menjanjikan kehidupan pasca-pandemik COVID-19 yang lebih baik. Mungkin itulah yang cuba disampaikan oleh penyanyi Aziz Harun dan Bunga menerusi single kolaborasi pertama mereka, “DUA PULUH DUA PULUH”.
Single terbitan Faithful Music dan edaran Warner Music Malaysia ini merupakan ciptaan bersama Romeo, Mage, Bunga dan Amzar Razqa. Sebelum ini Aziz pernah popular dengan lagu seperti ‘Senyum’, ‘Beautiful’, ‘Jangan’ dan ‘Kembali’. Manakala Bunga pula muncul dengan lagu bersama Amzar Sabri yang berjudul ‘300 SAAT’. ‘DUA PULUH DUA PULUH’ merupakan single ketiga Bunga pada tahun ini.
Menyifatkan single terbaharunya ini adalah manifestasi seninya dalam merumuskan norma kehidupan di tahun 2020, Aziz berkata, “Apa yang saya cuba sampaikan menerusi lagu ini adalah kesulitan dan keresahan yang kita semua alami di tahun 2020. Namun begitu, lagu ini turut cuba mengingatkan bahawa tetap ada hikmah disebalik dugaan ini.”
“Saya berharap dengan mengangkat isu semasa ini menjadikan lagu ini lebih dekat di hati pendengar. Apatah lagi bila kita bakal menyambut tahun baharu 2021 tidak lama lagi. Semoga lagu ini memberi semangat kepada pendengar untuk sabar menanti saat kehidupan kita semua kembali seperti biasa,” ujar Bunga.
Single “DUA PULUH DUA PULUH” kini boleh didapati di kesemua pelantar digital.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.