Sudah lama tidak mendengar perkhabaran pelakon dan penyanyi, Azhar Osman, dan baru-baru ini dia kembali merancakkan industri muzik dengan lagu baharunya berjudul 'Ternyata'.
Menurut Azhar, lagu sentuhan Farouk Roman itu kena dengan jiwanya dan dia tidak menyangka akan menerima tawaran untuk menyanyikan lagu tersebut.
“Apabila suatu hari Farouk menawarkan saya untuk menyanyikan lagu runut bunyi ciptaannya, mulanya saya ingat ia sekadar gurauan. Namun, rupa-rupanya dia memang serius dan saya terus ambil keputusan untuk menerimanya.
“Sebaik saya mendengar demo lagu yang diberikan kepada saya itu, ia serta-merta menangkap halwa telinga. Melodinya terus menggambarkan bagaimana perjalanan lagu itu dan saya semestinya sangat teruja mencabar diri bagi melunaskan tugasan lagu itu,” katanya.
Tidak dinafikan, Azhar perlu memperkenalkan semula namanya dan membuat kemunculan kembali bukanlah perkara yang mudah.
Justeru, Azhar melihat peluang diberikan untuk menyanyi runut bunyi dari sudut optimis dan yakin terhadap aturan rezeki ditetapkan buatnya. Semestinya dia mengharapkan namanya akan naik semula.
“Memandangkan ia lagu runut bunyi, timbul rasa bercampur-baur di mana pertamanya saya sangat berbesar hati. Siapa yang tak mahu lagunya dimainkan dalam drama dan saya pula sudah beberapa tahun tidak menyanyi. Tiba-tiba, saya muncul kembali dan terus buat lagu runut bunyi, saya anggap itu bonus,” katanya.
‘Ternyata’ merupakan runut bunyi untuk sebuah drama arahan Ungku Ismail Aziz yang dibintangi Riz Amin, Julia Farhana, Norman Hakim, Noorkhiriah dan ramai lagi.
Terdahulu, Azhar memulakan karier muzik sekitar 2013 sewaktu menganggotai duo Azhael bersama Hael Husaini yang mendapat naib juara dalam program Akademi Fantasia 10 (AF10).
Selepas kumpulannya bubar pada 2017, Azhar membina nama dalam bidang lakonan sebelum menyepi sejak beberapa tahun lalu.
‘Ternyata’ boleh didengari menerusi semua platform digital penstriman muzik terpilih di mana jua.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.