Foto: Instagram
Pelakon Anzalna Nasir menegur segelintir individu yang hanya menggunakan populariti media sosial untuk kepentingan peribadi tanpa memanfaatkan pengaruh mereka terhadap isu kemanusiaan dan masyarakat.
Anzalna atau nama penuhnya, Nur Anzalna Md. Nasir, 37, menegaskan bahawa memiliki jutaan pengikut akan lebih bermakna sekiranya digunakan untuk menyebarkan kesedaran dan menyuarakan perkara yang benar.
“Apa gunanya berjuta pengikut jika hanya untuk kepentingan peribadi atau perniagaan semata-mata. Gunakanlah pengaruh yang ada untuk menyuarakan kebenaran dan membantu isu yang memerlukan perhatian,” katanya menerusi Threads.
Ibu kepada dua anak itu turut menyeru rakan selebriti dan pempengaruh agar tidak takut kehilangan sumber rezeki jika berani bersuara.
“Jangan risau tentang rezeki, kerana semuanya datang daripada Allah,” ujarnya.
Walaupun tidak merujuk kepada mana-mana isu secara spesifik, kenyataan Anzalna menerima reaksi positif daripada netizen yang bersetuju dengan pandangannya.
Rata-rata menyokong seruannya agar lebih ramai figura popular menggunakan platform mereka untuk tujuan bermanfaat, bukan semata-mata keuntungan diri.
Tidak kurang juga yang memuji keberanian pelakon Cinta Dari Syurga itu dalam menyampaikan teguran berani dan berhemah.
“Anda wanita yang cantik, berani dan bijak. Tak ramai selebriti tempatan seberani anda,” tulis seorang pengguna.
“Saya setuju. Di akhirat nanti akan ditanya — berjuta pengikut, apa yang kau buat dengan pengaruh itu?” komen pengguna lain.
Anzalna antara selebriti yang aktif bersuara mengenai isu global, khususnya membabitkan perjuangan rakyat Palestin.
Sumber: Threads
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.