
Foto: MK Korea
Pelakon Malaysia, Anna Jobling melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai pemenang trofi Outstanding Asian Star pada Seoul International Drama Awards 2025 (SDA) yang berlangsung di Yeouido KBS Hall, Seoul semalam.
Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 25, meraih pengiktirafan berprestij itu menerusi lakonannya dalam drama Hai Cinta, Dengarkanlah bergandingan dengan Shukri Yahaya dan Niezam Zaidi.
Menyarung gaun labuh berona ungu, Anna tampil anggun ketika menerima trofi berkenaan dan menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak termasuk ibu bapa, peminat setia serta seluruh pasukan produksi.
“Saya benar-benar terharu dan amat bersyukur atas pengiktirafan ini. Terima kasih Seoul International Drama Awards kerana membuka ruang untuk Malaysia bersinar di pentas antarabangsa.
“Kemenangan ini bukan sahaja untuk diri saya, tetapi untuk seluruh peminat, keluarga dan pasukan produksi yang sentiasa menyokong saya,” katanya.
Anna turut berterima kasih kepada rakan televisyen kerana menjadi platform yang banyak membuka peluang serta memberikan momen berharga dalam perjalanan seninya.
Sebagai antara aktres muda yang kian menyerlah di industri hiburan tempatan, Anna berazam menjadikan kejayaan ini sebagai inspirasi buat generasi pelakon baharu agar lebih berani mengejar impian dan melangkah jauh ke peringkat global.
“Trofi ini adalah kebanggaan bersama, hadiah istimewa yang saya bawa pulang untuk Malaysia,” ujarnya.
Acara SDA yang dianggap sebagai salah satu pentas paling berprestij dunia hiburan Asia mengiktiraf bakat seni dari pelbagai negara. Untuk kategori Outstanding Asian Star, Anna berjaya mengatasi nama-nama besar seperti Kim Seon-ho, Jisoo, Daniel Padilla, dan Kentaro Sakaguchi.
Sumber: HibGlam
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.