Foto: Instagram
Pelakon terkenal, Anna Jobling tetap menzahirkan penghargaan buat ibunya, Ariz Arop meskipun hubungan mereka masih dilanda konflik. Ungkapan penuh kasih itu dizahirkan bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-25 baru-baru ini.
Anna atau nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling tidak melupakan segala jasa serta pengorbanan yang dicurahkan ibunya dalam membesarkan dan membentuk perjalanan hidupnya sehingga ke tahap hari ini.
Dalam hantaran di InstaStory, Anna meluahkan rasa terima kasih yang mendalam terhadap insan yang melahirkannya.
“Terima kasih buat mama kerana telah melahirkan dan membesarkan adik (panggilan dirinya). Adik berdoa semoga mama sentiasa diberkati serta dilindungi Allah,” tulisnya.
Bintang drama popular Setia Itu Mahal itu turut berkongsi bahawa setiap ucapan yang diterima daripada orang sekeliling menjadikan hari lahirnya lebih bermakna.
“Terima kasih banyak atas semua ucapan sempena ulang tahun kelahiran ini. Anna membaca kesemuanya dan setiap mesej amat berharga serta bermakna buat saya,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Anna yang berdarah kacukan Melayu-Inggeris meluahkan rasa syukur kerana masih dikelilingi insan-insan yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan dalam kehidupannya.
“Saya berasa amat bersyukur kerana dikelilingi oleh insan hebat. Doakan yang terbaik untuk saya dalam melangkah ke fasa baharu kehidupan ini,” ujarnya.
Walaupun ucapan penuh penghargaan itu dizahirkan, kemelut antara Anna dan ibunya dilaporkan masih belum menemui noktah.
Ariz sebelum ini mendedahkan menerima perintah injunksi daripada anaknya pada Disember tahun lalu, sekali gus menunjukkan konflik yang berlaku antara mereka masih berterusan.
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.