
Foto: Instagram
Pelakon popular, Amar Baharin, yang dalam misi epik mengayuh sejauh 8,000 kilometer dari Malaysia ke Mekah, kini berdepan cabaran besar apabila dimaklumkan bahawa laluan asal melalui India dan Pakistan tidak lagi selamat untuk dilalui.
Menurut satu kenyataan yang dikongsikan di Instagram miliknya, pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi menasihatkan agar mana-mana individu termasuk peserta misi seperti Amar tidak memasuki India buat masa ini, susulan situasi keselamatan yang semakin meruncing di wilayah tersebut.
Antara faktor utama termasuk penutupan sempadan darat India-Pakistan, ruang udara yang tidak dibuka untuk penerbangan komersial, serta ketegangan politik yang hampir mencetuskan konflik ketenteraan.
“Kami terpaksa ‘reroute’ misi ini atas faktor keselamatan,” jelas kenyataan itu.
Pihak Suruhanjaya mencadangkan agar Amar memulakan semula kayuhan dari Malaysia ke Thailand, dan kemudian menaiki penerbangan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum menyambung kayuhan ke Tanah Suci dari situ.
Laluan baharu misi #JourneyToTanahHaram itu akan diumumkan dalam masa terdekat setelah semua aspek keselamatan diteliti.
Sebelum ini, misi inspirasi Amar menarik perhatian ramai apabila beliau memulakan perjalanan solo berbasikal ke Mekah demi menyambut Aidiladha bersama isteri dan anak-anaknya yang menunggu di sana.
Ramai mengagumi semangat juangnya yang bukan sahaja membawa cabaran fizikal, tetapi juga cabaran mental dan spiritual.
Namun begitu, perubahan laluan ini jelas membuktikan bahawa setiap perjalanan ke arah kebaikan akan diuji. Ia bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, tetapi juga keteguhan jiwa dan tawakal kepada Allah.
Netizen rata-rata mendoakan agar Amar terus diberi perlindungan dan kekuatan untuk meneruskan misi suci ini, walau apa jua halangan yang mendatang.
Malah, ramai melihat perjalanan ini sebagai simbol perjuangan seorang hamba Allah yang nekad menuju rumah-Nya, meskipun ujian bertimpa-timpa.
Sumber: Instagram @amarbaharin
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.