Foto: Instagram
Penyanyi terkenal negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, mengakui kesilapannya ketika menggunakan bilik anak keduanya, Muhammad Afwa, untuk sesi 'live' di TikTok baru-baru ini.
Kejadian itu menyebabkan Afwa bertindak menutup muzik yang dimainkan.
Gelagat Afwa yang bertindak demikian mengejutkan Siti yang sedang asyik menyanyikan lagu Nazam Lebaran bersama anak sulungnya, Siti Aafiyah, hingga membuatkan mereka berdua ketawa.
"Dia tak faham. Okey, dia tahu mak dia bising saja. Dia nak tidur, jadi dia kata begitu. Afwa ini memang lain sikit.
"Sebenarnya saya yang salah. Saya buat 'live' di bilik dia. Selalunya, tengah hari dia perlu tidur sebentar di bilik dia. Saya telah menggunakan bilik dia untuk buat 'live'.
"Jadi, dia mudah marah sebab sangat mengantuk, ibu tak berhenti. Dia keluar masuk bilik itu. Kami kunci pintu, tetapi dia ketuk-ketuk," katanya ditemui pada Majlis Silaturahim Ramadan & Berbuka Puasa anjuran Yayasan Nurjiwa, bekerjasama dengan Yayasan Prihatin & Cuckoo di sini malam tadi.
Foto: Instagram
Siti turut berkongsi bahawa dia cuba mengalihkan perhatian Afwa dengan memberikan iPad agar sesi 'live' dapat diteruskan.
"Namun, sebaik sahaja Afwa dapat buka pintu, dia masuk dengan iPad dan hanya menekan saja. Dia masuk dan terus tutup, dia kata ibu bisinglah.
"Itulah yang berlaku. Afwa ini, orang kata anak kedua memang berbeza sikit. Tapi dia sangat kelakar, kadang-kadang di rumah pun dia yang membuat saya ketawa.
"Kakak dia agak serius, lebih garang," katanya sambil ketawa mengimbas gelagat anak keduanya.
Siti turut mendedahkan bahawa Afwa sudah menunjukkan minat terhadap kereta sejak kecil, malah dia sudah mengenal jenama-jenama kereta.
"Saya memang tak tahu, mungkin minat ini turun dari ayahnya. Dia suka kereta dan hafal logo-logo jenama kereta. Kalau kereta di lebuh raya, dia tahu itu Porsche, Lamborghini, Mercedes. Dia sangat perasan dengan kereta," katanya.
Dalam pada itu, dalam program yang berlangsung malam tadi, Siti, bersama Yayasan Prihatin dan Cuckoo, menyantuni anak-anak yatim, penggiat seni, bekas pengamal media, dan bekas Pegawai Perhubungan Awam syarikat rakaman.
Siti juga melancarkan program Kembara Ilmu Jiwa Prihatin serta Sedekah Nurjiwa untuk memberi peluang kepada orang ramai menyertai misi amal mereka.
Sumber: Berita Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.