Foto: Instagram
Walaupun isu pemain warisan sebelum ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, semangat untuk menjejaki bakat berdarah Malaysia yang beraksi di luar negara tetap tidak pernah pudar.
Terbaharu, laman penyokong Harimau Abroad di platform X berjaya menemui satu lagi figura berdarah campuran yang mencuri perhatian, iaitu Laikha Macwilson yang merupakan seorang pemain bola sepak wanita yang kini beraksi bersama kelab Gold Coast Bond University di Australia.
Laikha bukan sekadar pemain utama, malah turut memegang tanggungjawab sebagai ketua pasukan. Sejak tahun 2024, beliau memulakan perjalanan baharunya dalam bidang kejurulatihan apabila dilantik sebagai pengendali pasukan wanita Bond University Soccer.
Menariknya, pihak kelab baru-baru ini mengumumkan bahawa Laikha akan kembali membimbing pasukan berkenaan bagi musim 2025 selepas mencipta kejayaan besar pada musim lalu. Di bawah kendaliannya, pasukan tersebut berjaya meraih promosi ke Divisyen 1, menamatkan saingan di tangga kedua liga dan mara ke perlawanan Grand Final, pencapaian yang dianggap luar biasa dalam sejarah kelab itu.
Kecemerlangan Laikha diiktiraf apabila beliau dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik (Coach of the Year) bagi kategori komuniti dalam Anugerah Queensland Football Gala. Pengiktirafan itu menjadikannya antara jurulatih muda wanita paling menonjol di wilayah Queensland.
Tidak sekadar itu, Laikha turut menambah koleksi kejayaannya apabila membantu pasukan merangkul kejuaraan South Coast Senior Women Division 1 bagi musim 2025. Beliau juga aktif menyertai pertandingan futsal wanita di peringkat komuniti di Australia, membuktikan minat mendalam terhadap dunia bola sepak.
Dalam satu kenyataan kepada laman Women Football Malaysia, Laikha mendedahkan bahawa beliau mempunyai darah keturunan Malaysia melalui ibunya, selain mengesahkan dirinya ialah adik kepada pelakon terkenal tanah air, Zahirah Macwilson.
“Saya dilahirkan di England, tetapi mempunyai darah warisan Malaysia. Kakak saya ialah Zahirah Macwilson,” katanya dalam satu tangkap layar perbualan yang dikongsi di media sosial.
Penemuan bakat baharu ini sekali lagi membuktikan bahawa ramai individu berdarah Malaysia di luar negara memiliki potensi besar untuk diketengahkan dalam skuad kebangsaan. Dengan pengalaman serta pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa, kehadiran Laikha Macwilson dilihat mampu memperkukuh barisan skuad Malayan Tigress pada masa hadapan.
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.