Foto: Instagram
Isu panas tentang hak cipta lagu kumpulan legenda 4U2C akhirnya reda apabila komposer terkenal, Ajai, tampil memohon maaf secara terbuka dan ia diterima penuh lapang dada oleh ketua kumpulan, Datuk AC Mizal.
Menurut AC Mizal, 53, apa yang berlaku sebelum ini hanyalah salah faham dan bukan isu peribadi. Malah, beliau menegaskan kenyataan terdahulu dibuat bagi meluruskan fakta, bukan nak besarkan cerita.
“Bila Ajai minta maaf, kami terima dengan hati terbuka. Kami hargai usaha dia, sebab ni bukan soal saya sorang tapi melibatkan 4U2C keseluruhannya,” jelas AC Mizal ketika ditemui di majlis doa selamat di Masjid Bukit Indah, Ampang.
Majlis berkenaan diadakan sempena persiapan konsert We 4U2C Live In Concert yang bakal berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 15 September depan.
Tambah AC lagi, walaupun belum sempat bertemu Ajai secara peribadi kerana kesibukan masing-masing, hubungan mereka tetap baik, lebih-lebih lagi dua lagu konsert nanti iaitu Kembalilah Fiona dan Dusta adalah ciptaan Ajai sendiri.
“Saya dan Ajai memang baik dari dulu, sama-sama di bawah satu syarikat. Saya cuma mahu orang faham betul-betul isu hak cipta ni, jangan tersalah anggap.”
Terdahulu, dunia hiburan digemparkan apabila AC Mizal menuntut Ajai memohon maaf secara terbuka dalam masa 24 jam atau berdepan tindakan undang-undang, susulan kenyataan Ajai yang mendakwa konsert 4U2C tidak boleh dianjurkan tanpa izin pemilik lagu.
Kontroversi bertambah hangat apabila penerbit asal, Man Senoi dan isterinya Mama Rap, turut tampil mengatakan mereka tak dimaklumkan mengenai konsert itu walaupun memegang hak cipta lagu-lagu kumpulan tersebut.
Namun kini, dengan permohonan maaf yang dibuat, AC berharap tiada lagi fitnah berterusan.
“Insya-Allah, lepas ni semua jelas. Sekurang-kurangnya satu Malaysia tahu situasi sebenar industri muzik kita. Yang penting, kita move on dengan semangat positif.”
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.