Kementerian Pendidikan Malaysia umumkan semua sekolah di Malaysia akan ditutup mulai esok sehingga tarikh akhir persekolahan iaitu 17 & 18 Disember.

Arahan itu terpakai kepada semua negeri, termasuk yang tidak melaksanakan PKPB seperti Sarawak, Kelantan, Pahang dan Perlis.
Ekoran daripada itu, proses pengajaran dan pembelajaran akan dilakukan dari rumah mengikut kesesuaian guru dan murid.
“Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengajaran dan pembelajaran akan tetap diteruskan secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid.
"Pentadbir sekolah perlu memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah. Di sepanjang tempoh ini juga, guru perlu kekal berada di stesen tempat bertugas masing-masing,” kata Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin.
Pelajar yang berada di asrama juga dibenarkan pulang dan perlu menunggu ibu bapa atau penjaga mengambil mereka.
Pelajar akan dibenarkan tinggal di asrama sementara menunggu ketibaan ibu bapa atau penjaga dan keperluan makanan serta minuman akan disediakan pihak sekolah.
Selain itu, Kementerian juga mengumumkan tarikh permulaan sekolah adalah pada 20 Januari depan dan murid sekolah rendah akan mulakan pembelajaran secara bersemuka pada hari tersebut.
Tarikh peperiksaan seperti SPM, SVM, dan STAM dipinda dan akan bermula 22 Januari tahun depan manakala peperiksaan STPM akan bermula pada 8 Mac.
Kementerian maklumkan perincian untuk semua peperiksaan tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Sumber: Astro Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.