Bagi melihat kesediaan murid dan mempersiapkan mereka melangkah ke tahap seterusnya, semua pelajar sekolah rendah dan menengah akan menjalani Program Transisi selama 43 hari.
Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata program itu dirangka memandangkan pada tahun lepas, murid-murid tidak dapat menjalani tempoh pembelajaran yang sepatutnya di sekolah ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Program Transisi melibatkan semua murid di sekolah rendah dan menengah selama 43 hari dan dibuat mengikut kaedah yang difikirkan bersesuaian oleh guru yang terlibat.
"Kalau kita lihat pada tahun lepas, berapa hari sahaja mereka berada di sekolah, jadi tentunya kementerian bimbang mungkin terdapat perbezaan dari segi komunikasi dan bagaimana pembelajaran itu berlaku di rumah termasuk mengambil kira perbezaan dari segi akses kepada pembelajaran, maka kita cadangkan program transisi ini.
"Jika terdapat jurang pembelajaran pada murid prasekolah dan pada tahun ini mereka naik ke tahun satu, jadi bagaimana kita nak persiapkan mereka dari segi kesediaan sebelum mengikuti pembelajaran di tahun satu," katanya.
Selain itu, beliau juga mengulas mengenai pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kerana menurutnya tahun ini ia akan dipantau dengan lebih terperinci berbanding tahun lepas bagi membantu guru dan pihak sekolah memperbaiki kaedah yang digunakan dari semasa ke semasa.
"Jika dulu kita cuma melihat berapa orang guru yang melakukan PdPR dan berapa murid yang terlibat, tetapi sekarang kita nak lihat mata pelajaran apa, di tahun apa atau peringkat mana dan jika guru melakukan PdPR dalam talian berapa lama dan berapa peratus murid yang hadir pada sesi itu," katanya lagi.
Sementara itu, beliau berkata, KPM tidak akan menurunkan gred pemarkahan atau pengubahsuaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sesi 2020. Ini adalah kerana, katanya, sijil SPM dan STPM diiktiraf oleh University of Cambridge masing-masing untuk peringkat O-Level dan A-Level.
"Jika kita membuat sebarang perubahan kepadanya, kita akan hilang pengiktirafan berkenaan.
"KPM tidak mahu calon bagi kelas peperiksaan tidak memperoleh pengiktirafan bagi sijil mereka.
"Mungkin peluang untuk meneruskan pengajian atau memasuki bidang kerjaya terjejas sebab pengiktirafan ini," katanya.
Sumber: Astro Awani / BERNAMA
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.